X

Kindly register in order to view this article
!

KPT kerjasama dengan SKMM beri kesedaran berkaitan isu sosial, siber

Noraini Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berhubung isu sosial dan keselamatan siber.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu perlu supaya tindakan berkaitan dapat diambil bagi menangani isu pelajar IPT yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari ‘sugar daddy’.

“KPT hari ini telah mengadakan perbincangan dengan SKMM berkaitan dengan isu yang telah menjejaskan nama baik universiti dan pelajar baru-baru ini.

‘’Kedua-dua pihak juga telah bersetuju mengambil beberapa tindakan untuk menangani isu ini,’’ kata Noraini menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Sementara itu, SKMM dilaporkan telah menyekat laman sesawang sugarbook.com yang didakwa digunakan pelajar IPT bagi mendapatkan sugar daddy.

ARTIKEL BERKAITAN: SKMM siasat dakwaan penuntut universiti tawar diri jadi 'sugar baby'

Laman sesawang itu disekat kerana kandungannya melanggar undang-undang negara ini selain akses kepada laman tersebut turut dihalang di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Laporan itu juga mendakwa golongan pelajar dan graduan didakwa menduduki tangga pertama paling ramai menjadi sugar baby, diikuti usahawan, jururawat, guru, peguam, pelayan, pembantu peribadi, jurusolek, model dan ahli farmasi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!