Ingati mereka selain Leftenan Adnan

A
A
A

SEKIRANYA Bukit Chandu tidak dipulihara kerajaan Singapura, mungkin hari ini kita cuma membaca kisah keberanian Leftenan (Lt) Adnan Saidi yang bertahan bermati-matian menentang kemaraan askar Jepun semasa Pertempuran Pasir Panjang pada Perang Dunia Kedua kerana tinggalan fizikalnya tiada.

Memorial Perang Dunia Kedua yang dikenali sebagai Refleksi di Bukit Chandu itu dibuka pada tahun 2002 di bawah seliaan Badan Warisan Kebangsaan Singapura.

Adnan bersama 42 saki baki anggota Kompeni C Batalion (Bn) Pertama Rejimen Askar Melayu bertahan di atas bukit itu pada 13 hingga 14 Februari 1942 sebelum tewas dan bersemadi tanpa pusara.

Dua buah batalion Askar Melayu menjadi sebahagian daripada formasi Briged Infantri Pertama Malaya bersama dua briged lain yang diarah bertahan di Pasir Panjang sebagai sebahagian ketumbukan Singapore Fortress yang merupakan pertahanan terakhir di pulau itu.

Sejak tiga tahun lalu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai Hari Pahlawan peringkat Tentera Darat (TD) bagi memperingati dan menghargai pejuang yang gugur.

Walaupun Leftenan Adnan diangkat sebagai wira Perang Dunia Kedua, namun kita seharusnya tidak lupa pada pahlawan-pahlawan lain termasuk Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF).

Menjelang Perang Dunia Kedua, kekuatannya berjumlah empat buah batalion infantri iaitu Bn Pertama Perak, Bn Kedua Selangor, Bn Ketiga Negeri Sembilan dan Bn Keempat Pahang.

Mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng dalam bukunya, Nation Before Self turut menceritakan lima anggota FMSVF anak jati Taiping, Perak yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah Lans Sarjan Khoo Heng Peng; Koperal Ong Kim Sai; Koperal Chan Kam Weng; Prebet Tang Bee Choon dan Prebet Lim Poh Aun.

Heng Peng terkorban akibat terkena serpihan peluru atau bom di Changi manakala empat yang lain semasa mengendalikan sebuah pos mesingan di Geylang Serai.

Apabila pihak berikat menyerah kalah, kira-kira 400 orang Askar Melayu termasuk pegawai menjadi tawanan perang dan dikumpulkan di Ferrer Park, Singapura tetapi dibebaskan beberapa hari kemudian kecuali pegawai.

Satu peristiwa tragis berlaku selepas dua minggu penahanan mereka apabila lapan pegawai Askar Melayu dan FMSVF ini ditembak mati kerana enggan menanggalkan pakaian seragam dan lencana pangkat sebagai tanda menyerah kalah.

Mereka ialah Kapten Raja Aman Shah Raja Harun Al-Rashid, Lt Ariffin Sulaiman, Lt Ibrahim Sidek, Lt Abd Wahid Judin, Lt Yazid Ahmad, Datuk Naning iaitu Lt Datuk Othman Kering, Lt Muda Ahmad Noordin dan Lt Muda Md Isa Mahmud.

Ariffin, Ibrahim dan Abd Wahid merupakan pegawai kanan Askar Melayu yang semasa disoal siasat tetap berkeras enggan menurut perintah tentera Jepun.

Mayat dengan tangan berikat ini ditinggalkan di tempat mereka ditembak iaitu di satu kawasan yang sebelumnya merupakan tempat perlindungan serangan udara di kaki bukit dekat Bedok.

Kapten Raja Aman Shah merupakan kerabat diraja Perak yang juga menantu Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Pegawai Daerah Port Dickson ini melepaskan jawatan untuk bersama-sama pasukannya iaitu Bn Ketiga Negeri Sembilan sebaik peperangan meletus.

Semasa dalam tahanan, Kapten Raja Aman Shah menolak peluang untuk dibebaskan semata-mata kesetiaan untuk bersama-sama pegawai tentera Melayu yang ditahan.

Kapten Raja Aman Shah serta nama-nama pahlawan tanpa pusara ini telah diabadikan pada Tugu Peringatan Singapura di Memorial Perang Kranji.

Mengikut data sejarah, seramai 16 pegawai British, lapan pegawai Melayu dan 146 anggota Rejimen Askar Melayu terkorban semasa Perang Dunia Kedua. Pengorbanan mereka tidak dilupakan.

Tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai Hari Pahlawan peringkat Tentera Darat (TD) bagi memperingati dan menghargai pejuang yang gugur.

* Zaki Salleh ialah penulis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu