Hampir 1,500 penyertaan pertandingan cipta logo Perak FC

Khairul Shahril
Khairul Shahril
A
A
A

IPOH - Hampir 1,500 logo diterima daripada peminat pasukan bola sepak Perak untuk Pertandingan Mencipta Logo Perak FC yang ditutup pada Ahad.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, pihak panel penilai telah pun menyenarai pendek logo untuk diundi oleh seluruh peminat pasukan Perak FC secara dalam talian.

Menurutnya, tempoh pengundian akan dibuat dalam masa 24 jam sahaja disebabkan tempoh masa persiapan pasukan semakin singkat.

"Kita menjuruskan kepada keaslian ciptaan logo tersebut kerana antara isu yang berbangkit semasa logo Perak FC ini diperkenalkan ialah kita ambil dari Google sahaja. Memang terlalu banyak penyertaan yang kita tengok ambil daripada Google, jadi kita tolak.

"Sepatutnya kita angkat 10 logo untuk dipilih secara dalam talian mulai malam ini (Isnin) tetapi tak sampai 10 yang kita kenal pasti kerana selain logo yang asli, kita tengok dari segi reka bentuk yang tidak sesuai.

" Jadi ada enam, tujuh logo (untuk undian) yang bersesuaian dengan pasukan kita," katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan pertama pasukan Perak FC di Stadium Mini Chemor di sini pada Isnin.

Khairul Shahril berkata, tempoh singkat pengundian itu mengambil kira persiapan jersi dan sesi pelancaran jersi yang akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berharap peminat pasukan Perak FC memanfaat peluang yang ada untuk mengundi logo Perak FC kesukaan mereka dan seterusnya memberi sokongan kepada pasukan.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Februari lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberikan titah nasihat kepada Perak FC agar pertandingan mencipta logo pasukan itu diadakan bagi menggantikan logo sedia ada.

Titah nasihat itu dizahirkan selepas baginda dipersembahkan reaksi penyokong yang kurang berminat dan tidak tertarik dengan logo baharu dilancarkan Perak FC baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Logo Perak FC dapat perhatian Sultan Perak

Dalam perkembangan lain, pasukan Perak FC memulakan latihan pada Isnin dengan mengikuti protokol am latihan secara gelembung sukan atau Sport Bubble seperti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Khairul Shahril, kesemua pegawai dan pemain telah menjalani ujian calitan pada Ahad sepertimana yang disyaratkan pihak berkaitan.

Jelasnya, pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) telah memberi taklimat kepada pengurusan pasukan mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang latihan.

Beliau berkata, pasukan Perak FC menjalani sesi latihan dua kali sehari, iaitu pada sesi pagi dan petang sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan bermula 5 Mac hadapan.