X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Program vaksinasi dijangka pulihkan industri penerbangan

Program vaksinasi Covid-19 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dijangka dapat membantu memudahkan pemulihan industri penerbangan negara pada bulan-bulan akan datang. Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Program vaksinasi Covid-19 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dan perjanjian laluan hijau timbal balik/Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) antara Malaysia dan Indonesia dijangka dapat membantu memudahkan pemulihan industri penerbangan negara pada bulan-bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh juga berharap petugas barisan hadapan lapangan terbang akan menjadi antara yang pertama menerima vaksin sebaik sahaja program itu bermula.

“Sejak permulaan pandemik, kami sentiasa berjaga-jaga dalam memastikan standard keselamatan tertinggi di lapangan terbang agar orang ramai dapat melakukan perjalanan dengan selamat, oleh itu program vaksinasi kebangsaan sudah pastinya akan membantu usaha kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, perjanjian RGL/TCA juga bermakna lebih banyak gelembung perjalanan boleh dilaksanakan dengan negara-negara lain dalam rantau Asia Tenggara.

“Hampir 50 peratus daripada trafik antarabangsa adalah daripada rantau Asia Tenggara semasa sebelum pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Malaysia Airports, pergerakan trafik penumpang pada Januari 2021 bagi operasi Malaysia susut kira-kira 30 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala angka itu meningkat lebih daripada 240 peratus apabila membandingkan Disember berbanding November 2020.

Data trafik udara bagi bulan lepas menunjukkan penutupan sempadan dan pelaksanaan semula sekatan perjalanan domestik menjejaskan pergerakan trafik udara yang telah menunjukkan petanda pemulihan awal selepas sekatan perjalanan dilonggarkan pada separuh kedua 2020.

Bagaimanapun, katanya, trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak kira-kira 25 peratus daripada bulan sebelumnya, walaupun dengan penutupan sempadan dan langkah-langkah kuarantin yang ketat.

“Pergerakan trafik kumpulan sebahagian besarnya masih lagi disumbang oleh operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (Kod IATA: SAW).

“Meskipun pelaksanaan perintah berkurung dan penggantungan penerbangan dari United Kingdom, Afrika Selatan dan Denmark, SAW masih merekodkan pergerakan 1.3 juta penumpang atau kira-kira 60 peratus daripada jumlah dua juta penumpang pada Januari 2021,” kata syarikat itu.

Sementara itu, ia berkata, operasi kargo kekal kukuh dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalu-alukan rakan penerbangan kargo terbaharunya dari Lithuania, Get Jet Airlines minggu lepas.

“Syarikat penerbangan carter persendirian itu memilih KLIA sebagai pangkalan utamanya bagi laluan Jakarta-Kuala Lumpur dan akan menimbang untuk menghubungkan ke lebih banyak destinasi dari Asia Tenggara ke Asia Tengah,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!