Perak terima sumbangan Covid-19 bernilai RM32 juta

Saarani (kanan) bersama Takiyuddin dalam Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Perak di Ipoh pada Isnin. FOTO: PEJABAT MB PERAK
Saarani (kanan) bersama Takiyuddin dalam Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Perak di Ipoh pada Isnin. FOTO: PEJABAT MB PERAK
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerima sumbangan sebanyak RM32 juta menerusi Akaun Amanah Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak sehingga 11 Februari lalu dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan merupakan penyumbang utama dengan nilai keseluruhan peruntukan disalurkan berjumlah RM15 juta, selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang menjadi penyumbang kedua terbanyak iaitu RM4.7 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menerima sumbangan daripada pelbagai agensi seperti badan berkanun Persekutuan, badan berkanun negeri dan sektor swasta dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.9 juta ke dalam Akaun Amanah tersebut.

"Bermula pada Mac 2020, kerajaan negeri telah menggunakan Akaun Amanah Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak bagi tujuan penerimaan, penyaluran dan pembayaran sebarang jenis urusan berkaitan usaha-usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri melalui Akaun Amanah ini sentiasa komited dalam membantu setiap organisasi atau individu yang terkesan akibat pandemik ini dan sentiasa terbuka untuk menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu," katanya menerusi teks ucapan yang diedarkan kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Perak di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Saarani, sumbangan yang diterima itu antara lain bagi membiayai kos pusat kuarantin di sekitar Perak dengan jumlah sebanyak RM4.2 juta bagi penyediaan makan minum di pusat kuarantin, membiayai peralatan bukan perubatan dan lain-lain kos berkaitan serta kos pusat kuarantin di hotel-hotel.

Beliau berkata, bagi kawasan-kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berupa kotak makanan kepada penghuni terlibat dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejumlah RM2.2 juta pula disalurkan kepada petugas barisan hadapan bagi membiayai kos makan minum dan elaun petugas barisan hadapan.

"Pada masa yang sama, atas keprihatinan, kerajaan negeri juga telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Perak berjumlah RM760,000 bagi tujuan pembelian pakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan untuk kegunaan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

"Sebanyak RM4.1 juta juga telah dibelanjakan bagi membiayai kos pengecualian sewa gerai di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan beban peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik ini," katanya.

Saarani berkata, secara keseluruhannya, sebanyak RM24.8 juta telah dibelanjakan dari Akaun Amanah tersebut bagi tujuan berkaitan pandemik Covid-19.

Mengenai usaha menangani Covid di Perak, beliau berkata, beberapa inisiatif telah dilakukan, antaranya menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi mengendalikan penilaian pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah.

Bagi menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat, katanya, Jabatan Kesihatan Perak dengan kerjasama kerajaan negeri meningkatkan kapasiti sedia ada melalui pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Arena Badminton Perak pada 28 November lalu.

"Kapasiti semasa PKRC adalah sebanyak 210 katil yang dikhaskan bagi rawatan pesakit Covid-19 berisiko rendah iaitu pesakit kategori 1 dan kategori 2 yang tidak sesuai menjalani rawatan di rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, empat buah stesen kuarantin juga telah diwujudkan bagi menempatkan semua individu yang baru pulang dari luar negara untuk menjalani kuarantin wajib serta kontak rapat kes positif Covid-19 yang tidak sesuai menjalani kuarantin wajib di rumah.