Azizulhasni ada potensi sambar emas Olimpik

Azizulhasni antara prospek terbaik kontinjen Malaysia untuk menghadiahkan emas Sukan Olimpik di Tokyo.
Azizulhasni antara prospek terbaik kontinjen Malaysia untuk menghadiahkan emas Sukan Olimpik di Tokyo.
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya juara dunia 2017, Azizulhasni Awang berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Pengurus pasukan berbasikal ke Olimpik Tokyo, Datuk Ashakari Abu Noor berkata, Azizulhasni memiliki ramuan terbaik untuk muncul juara, sekali gus menamatkan penantian emas pertama negara pada temasya berprestij tersebut.

“Atas kertas, Azizulhasni berpeluang cerah untuk menang pingat emas. Beliau boleh menguasai mana-mana acara sama ada sprint ataupun keirin.

“Sebagaimana yang kita tahu, pelumba ternama Australia seperti Matthew Glaetzer memang sangat kuat. Tapi Azizulhasni berjaya tewaskan beliau pada Kejohanan Trek Kebangsaan Australia Disember lalu.

“Ini menunjukkan Azizulhasni sudah bersedia untuk menguasai acara sprint atau keirin di Olimpik Tokyo. Saya berasa yakin beliau akan menghadiahkan emas Olimpik pertama kepada rakyat Malaysia,” kata Ashakari dalam kenyataan pada Isnin.

Ashakari berkata, PKBM sentiasa memantau prestasi semasa pelumba ranking nombor satu dunia acara pecutan (sprint) itu bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, Azizulhasni mempunyai pengalaman sangat luas termasuk tiga kali beraksi di Olimpik, memiliki kekuatan dalaman serta ranking dunia selain memiliki kematangan ketika berlumba dan kebijaksanaan menilai serta mengatasi prestasi pesaing dari Eropah, Britain, Australia atau Jepun.

“Gara-gara pandemik Covid-19, ramai pelumba yang tidak dapat sertai kejohanan besar. Mereka berlatih tapi tidak sertai kejohanan besar. Di sinilah berlaku banyak andaian, tapi saya percaya Azizulhasni memiliki banyak kelebihan berbanding pelumba lain.

Artikel Berkaitan:

“Kali terakhir saya menghubunginya ialah pada Sabtu lepas. Beliau memerlukan sokongan padu semua rakyat Malaysia dan mahu semua pihak mendoakan agar persiapan beliau berjalan lancar serta berpeluang untuk menang pingat emas di Olimpik Tokyo nanti,” katanya.

Azizulhasni yang bakal tampil buat kali keempat di temasya Sukan Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, kini di ranking pertama sprint dan kedua keirin berdasarkan kemas kini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) baru-baru ini.