X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Harapan tinggi Fatah-Hamas bersatu hadapi Israel

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (kanan) dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh. - Foto AFP
A
A

PARTI Fatah yang mengetuai pentadbiran Tebing Barat manakala Hamas menguasai Gaza berjaya memeterai satu perjanjian pada minggu lalu di Kaherah, Mesir berhubung pelaksanaan dua pilihan raya yang akan diadakan di Palestin dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pilihan Raya Parlimen dan Presiden masing-masing akan diadakan pada bulan Mei dan Julai depan yang diadakan buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun dengan kali terakhir ialah pada tahun 2006.

Dalam Pilihan Raya Parlimen yang diadakan pada tahun 2006, pergerakan Islam, Hamas berjaya memperoleh kemenangan besar sekali gus menamatkan dominasi parti Fatah yang pernah mempunyai pemimpin terkenal seperti Allahyarham Yasser Arafat.

Presiden Palestin kini ialah Mahmoud Abbas yang memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2005 sekali gus mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sejak kematian Arafat pada tahun 2004.

Abbas bertanding setelah parti Fatah yang merupakan sebuah kumpulan terbesar dalam PLO mencalonkannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2005 dan kini mengetuai PA sejak tahun 2005.

Menurut akhbar New York Times, dalam Pilihan Raya Parlimen itu, Hamas menang 76 kerusi manakala Fatah hanya memperoleh 43 kerusi dalam PA yang mempunyai 132 kerusi Parlimen setelah keputusan penuh diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat pada Januari 2006.

Baki 13 kerusi lagi adalah milik beberapa parti kecil dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat PA, seramai 1,011,992 orang daripada 1,334,396 penduduk Palestin yang keluar mengundi dalam pilihan raya yang boleh dianggap bebas dan adil.

Setelah pilihan raya tersebut, menurut portal berita GlobalSecurity,org, Perdana Menteri Palestin ketika itu, Ahmed Qureia dan Kabinetnya meletakkan jawatan dan Abbas kemudian meminta Hamas membentuk sebuah kerajaan baharu dengan Ismail Haniyeh daripada pergerakan tersebut menggantikan tempat Qureia sebagai Perdana Menteri.

Haniyeh ketika itu mencadangkan supaya perkongsian politik dibentuk antara Hamas dengan Fatah tetapi beberapa pemimpin Fatah berkata mereka tidak berhasrat untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan Hamas.

Bagaimanapun, kerajaan Israel dilaporkan tidak akan berurusan dengan Hamas kecuali ia meletakkan senjata dan menukarkan komitmennya yang mahu menghancurkan negara Yahudi tersebut.

Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-43, George W Bush pernah berkata, AS tidak akan berurusan dengan kerajaan Palestin diketuai oleh Hamas melainkan parti tersebut mengiktiraf kewujudan Israel.

Hamas juga dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh beberapa buah kerajaan Barat seperti AS, Jepun, Kesatuan Eropah, Kanada dan Israel.

Pergerakan Islam itu dilaporkan membina kerajaannya sendiri di Gaza termasuk menggaji kakitangan awam bagi menggantikan mereka yang setia dengan Abbas.

Fatah dan Hamas juga terlibat dalam perang saudara apabila saling berperang antara satu sama lain pada bulan Jun 2006 yang menyebabkan sejumlah penduduk Palestin terbunuh sebelum kedua-duanya berdamai dan menjalin kerjasama untuk mengadakan Pilihan Raya Parlimen dan Presiden dalam tahun ini.

Haniyeh pernah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2007 selepas perang saudara itu berakhir sebelum disingkirkan oleh Abbas kerana Hamas dilaporkan menguasai Gaza melalui paksaan.

Menurut portal berita Anadolu Agency pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, pergerakan Fatah mengumumkan Abbas dicalonkan parti tersebut untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Palestin.

Penggal pemerintahan Abbas sebagai Presiden sepatutnya tamat pada Januari 2009 tetapi beliau dilaporkan berikrar akan terus berkuasa sehingga Pilihan Raya Parlimen dan Presiden Palestin dapat diadakan secara serentak.

Walau apa pun keputusan pilihan raya tersebut, pemimpin yang menguasai PA perlu meneruskan penyelarasan dengan Israel berhubung dengan isu-isu mengenai keselamatan dan ekonomi.

Permusuhan antara kedua-dua parti dikatakan berpunca daripada ketidaksetujuan kedua-dua pihak berhubung Israel apabila Hamas menolak kewujudan negara Yahudi itu tetapi Fatah menyokong sebuah negara Palestin ditubuhkan bersama dengan Israel.

Pada 4 Mei 2011, pemimpin-pemimpin Fatah dan Hamas bertemu di Kaherah, Mesir untuk memeterai perjanjian perdamaian tetapi Fatah masih menguasai Tebing Barat manakala pergerakan Islam itu mentadbir Gaza.

Menurut AFP, seorang penganalisis politik di Asia Barat, Ashraf Abu al-Houl berkata, perjanjian menormalkan hubungan antara Israel dengan empat negara Liga Arab iaitu, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Qatar telah meningkatkan usaha kumpulan-kumpulan yang bermusuhan untuk memperjuangkan nasib Palestin dengan menggunakan satu suara.

Perjanjian itu sebenarnya melanggar konsensus Liga Arab yang menentang sebarang bentuk hubungan dengan Israel diwujudkan sehingga konflik yang berlaku di Palestin diselesaikan terlebih dahulu. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!