1MDB: Bukan semua arahan Jho Low diterima

Mohd Hazem Abd Rahman, 47, hadir sebagai saksi perbicaraan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi, hari ini.
 -Foto Bernama
Mohd Hazem Abd Rahman, 47, hadir sebagai saksi perbicaraan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi, hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa beliau tidak pernah mendapatkan pengesahan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peranan ahli perniagaan kontroversi, Low Teak Jho atau Jho Low.

Mohd Hazem Abd Rahman, 47, berkata, ia termasuk maklumat atau perkara-perkara yang disampaikan Jho Low mengenai hal ehwal pengurusan 1MDB.

Sebaliknya, ketika menjawab soalan daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Mohd Hazem berkata, beliau mempercayai sepenuhnya maklumat yang diberi ahli perniagaan kontroversi tersebut.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-10 berhubung kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu mengakui, tidak semua arahan Jho Low mengenai pengurusan 1MDB boleh diterima akal.

"Ada sesetengah perkara berhubung aspek kewangan syarikat boleh diterima tetapi kadangkala tidak masuk akal.

"Bagi mendapatkan kepastian, saya pernah tanya Jho Low sama ada bersemuka atau melalui kiriman mesej Blackberry Messenger, tetapi jarang sekali dia akan ubah fikiran," katanya.

Mohd Hazem berkata, biasanya arahan atau nasihat tersebut termasuk dalam perkara-perkara yang perlu disegerakan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam mewakili Najib diketuai Muhammad Shafee.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.