'Bukan tanggungjawab KPM semata-mata'

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam usaha menangani krisis pendidikan negara akibat pandemik Covid-19, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyenaraikan cadangan melibatkan campur tangan beberapa kementerian dan agensi.

Menurut Maszlee, kementerian yang perlu dilibatkan ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Selain itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perpaduan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga perlu dilibatkan.

Beliau berkata, usaha tersebut memerlukan usaha bersepadu, kolaboratif dan holistik, bukannya meletakkan tanggungjawab kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata.

"Tidak wajar hanya KPM dipertanggungjawabkan untuk menangani isu pendidikan kerana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengambil tempat di rumah dan bukannya di sekolah.

"Isu capaian internet, pemilikan peranti dan juga kandungan pembelajaran yang efektif memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

"Begitu juga nasib keluarga dari kelompok rentan memerlukan partisipasi dari semua kementerian yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, KKM perlu memainkan peranan yang proaktif bersama KPM dalam isu capaian internet dan TV Pendidikan atau Radio Pendidikan dengan memperbanyakkan bahan-bahan untuk TV Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan juga Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh digunakan untuk membiayai penerbitan bahan-bahan tersebut.

"Selain itu, pihak KPT juga perlu bekerjasama dengan KPM untuk menerbitkan bahan-bahan penyiaran pendidikan. Pakar-pakar di universiti-universiti sama ada awam atau swasta boleh digunakan. Geran-geran penyelidikan mereka boleh digunakan untuk penghasilan bahan-bahan berkenaan.

"Para siswa pula boleh digembleng untuk mengajar murid sekolah, adik-adik atau anak-anak jiran dan sesiapa sahaja dalam radius yang sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) demi mengelakkan generasi tersisih dan keciciran murid," katanya.

Tambah beliau, KPLB pula bertanggungjawab memastikan anak-anak di luar bandar dan pedalaman tidak keciciran dengan menyediakan pusat-pusat internet atau perpustakaan desa di kampung-kampung untuk digunakan oleh pelajar.

Katanya, KPKT tidak terkecuali memastikan talian internet percuma dipasang di semua kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) mereka, di samping mengaktifkan perpustakaan milik mereka di kawasan PPR tersebut memastikan anak-anak di situ tidak ketinggalan.

"Kerajaan negeri juga sepatutnya bertindak aktif di dalam mengaktifkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pihak-pihak berkaitan untuk memastikan anak-anak tiada yang ketinggalan. Mereka juga boleh berhubung dengan syarikat-syarikat penerbitan untuk mendapatkan buku-buku kerja yang tersadai di stor-stor mereka untuk diberikan secara percuma kepada anak-anak dari keluarga B40 dan M40.

"Pada masa sama, MOTAC melalui Perpustakaan Negara Malaysia harus bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KPM untuk melipat gandakan dan memperhebatkan kempen membaca di rumah," katanya.

Maszlee turut menyentuh campur tangan oleh KPWKM yang perlu digerakkan secara proaktif dengan melakukan intervensi memastikan guru-guru dapat digerakkan ke rumah anak-anak murid dan juga membiayai para pekerja secara kontrak untuk mengajar anak-anak kurang upaya (OKU) di rumah.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan juga bertanggungjawab memastikan pendidikan orang asli dapat diuruskan dengan baik melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan membantu pengedaran bahan pembelajaran kepada kawasan pedalaman.

"Selain itu, Institut pengajian tinggi (IPT) juga harus segera melakukan kerjasama dengan universiti- universiti terkemuka luar negara yang menawarkan kursus-kursus dalam talian dengan bahan-bahan berkualiti.

"Terutamanya universiti Ivy League, United Kingdom (UK) dan Australia demi mengurangkan beban pensyarah yang tidak biasa dan tidak mampu untuk menerbitkan bahan-bahan yang berkualiti untuk membantu mereka mengajar," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang terdiri dari ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar yang terlibat dalam bidang pendidikan.