5,625 kit RTK-Antigen saring pekerja asing di Terengganu

Farihah (kanan) meninjau fasiliti di lokasi penginapan sementara pekerja warga asing di dua tapak pembinaan di Kuala Terengganu pada Isnin.
Farihah (kanan) meninjau fasiliti di lokasi penginapan sementara pekerja warga asing di dua tapak pembinaan di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majikan di negeri ini diminta menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap semua pekerja warga asing melalui Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Antigen) yang dibekalkan di klinik-klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seluruh negeri.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, setakat ini sebanyak 5,625 RTK-Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dibekalkan ke klinik panel di negeri ini.

"Agihan itu telah dijalankan sejak 2 Februari lalu mengikut permohonan daripada majikan yang menggaji pekerja asing bagi tujuan saringan Covid-19.

"Setakat ini sebanyak 1,450 RTK telah digunakan oleh 500 majikan. Kita jangka jumlah itu akan bertambah menjelang akhir bulan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops Bersepadu Pematuhan Penginapan Pekerja (Akta 446) dan Saringan Covid-19 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, majikan boleh terus berhubung dengan klinik-klinik panel Perkeso untuk mendapatkan RTK-Antigen yang dibiayai Perkeso secara percuma.

"RTK-Antigen hanya diberi secara percuma kepada pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso sahaja dan cas berkaitan perkhidmatan tetap dikenakan kepada majikan yang menjalankan saringan kepada pekerja mereka.

"Kita akan pastikan majikan mematuhi setiap arahan daripada kerajaan bagi menghindari penularan wabak Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 4,884 daripada 7,741 pekerja asing yang direkodkan di negeri ini masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini hanya 2,451 daripada keseluruhan pekerja asing yang direkodkan telah membuat saringan, manakala seramai 4,884 pekerja asing di Terengganu belum disaring," katanya.