Tujuh lori disita bawa hasil hutan secara haram

Pegawai perhutanan melakukan pemeriksaan pada salah sebuah lori dalam Ops Oren. Foto: ihsan Jabatan Perhutanan Perak
Pegawai perhutanan melakukan pemeriksaan pada salah sebuah lori dalam Ops Oren. Foto: ihsan Jabatan Perhutanan Perak
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak menyita tujuh lori yang disyaki membawa hasil hutan secara haram menerusi Ops Oren di 15 sekatan jalan raya di sekitar Perak.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah (pas pemindah) bagi membawa hasil hutan.

Beliau memberitahu, barang rampasan tersebut telah dipindahkan ke stor barang rampasan manakala semua pemandu lori serta kelindan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Pegawai Perhutanan melakukan pemeriksaan pada muatan lori-lori dalam Ops Oren yang bermula Selasa hingga Jumaat lalu. Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Perak.
Pegawai Perhutanan melakukan pemeriksaan pada muatan lori-lori dalam Ops Oren yang bermula Selasa hingga Jumaat lalu. Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Perak.

"Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 68(1), 68(2) dan Seksyen 40(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Mohamed Zin, dalam operasi sama, sebanyak 50 lori yang membawa muatan seperti kayu balak, kayu getah, buluh, rotan dan lain-lain hasil hutan yang lain dari hutan simpanan kekal, tanah kerajaan dan tanah milik telah diperiksa.

“Ops Oren dilaksanakan bagi memantau dan memeriksa sebarang aktiviti membawa hasil hutan secara haram dan semua dokumen berkaitan pemindahan hasil hutan supaya mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Pelaksanaan operasi ini selaras dengan konsep ‘visible enforcement’ yang diterapkan jabatan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dan orang awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 75 pegawai terlibat dalam pemeriksaan di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut dan Matang, Manjung serta Selatan Perak bermula Selasa hingga Jumaat lalu.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).