Platform e-dagang untuk OKU tidak lama lagi: Rina

Rina Mohd Harun (kiri) menyantuni pelatih, Siti Hartini Darwis, 22, ketika membuat lawatan ke Taman Sinar Harapan (TSH) Ziyad Zolkefli, Cheras hari ini. - Foto Bernama
Rina Mohd Harun (kiri) menyantuni pelatih, Siti Hartini Darwis, 22, ketika membuat lawatan ke Taman Sinar Harapan (TSH) Ziyad Zolkefli, Cheras hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan orang kurang upaya (OKU) bakal mempunyai platform dalam talian sendiri untuk mempamer dan memasarkan produk kraftangan mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Rina berkata, platform itu yang bakal dibangunkan kementerian itu bertujuan menyediakan platform alternatif untuk golongan OKU bagi menjana pendapatan mereka serta dapat memperkenalkan produk mereka secara individu.

“Kami dalam peringkat perancangan pembangunan platform dan sementara ia dijayakan, kami juga merancang untuk bertemu peniaga e-dagang sedia ada dan berbincang dengan mereka mengenai platform ini.

"Saya yakin ramai golongan ini yang akan mendapat manfaat daripada platform ini kerana mereka memiliki bakat luar biasa yang boleh digarap menjadi punca pendapatan,” katanya kepada pemberita semasa melawat rumah perlindungan golongan kurang upaya di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, di sini pada Isnin.

Menteri itu berkata, perincian mengenai platform itu akan diumumkan kemudian.

Mengulas mengenai insiden yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika berhenti di sekatan jalan raya, Rina berkata undang-undang khusus berkaitan gangguan seksual sedang dirangka.

Beliau juga menasihatkan golongan wanita yang berdepan dengan gangguan seksual agar tidak takut untuk meminta bantuan.

Selain menghubungi saluran Talian Kasih kementerian, beliau juga menggesa mangsa agar mengambil langkah sewajarnya seperti merakam kejadian itu sama ada suara atau video serta sentiasa membawa alat perlindungan diri seperti penyembur lada. - Bernama

Artikel Berkaitan: