Gangguan seksual SJR: Dua anggota polis diarah tugas di pejabat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis yang dikatakan melakukan gangguan terhadap wanita ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) baru-baru ini tidak digantung kerja sebaliknya diarahkan bertugas di pejabat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, tindakan diambil terhadap kedua-dua anggota di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu sementara siasatan selesai.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan tindakan tatatertib akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya pada Isnin.

Tambah Zamri, pihaknya sudah merakam keterangan dua wanita yang mendakwa diri mereka diganggu anggota polis SJR untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan kejadian itu.

"Proses siasatan dijalankan secara telus dan teliti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan seksual SJR: Orang ramai diminta jangan buat spekulasi

Terdahulu, dua wanita memuat naik di laman sosial mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh anggota polis bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.

Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta menghala keluar dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kejadian di Pulau Pinang pula seorang wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan jalan raya.