Lagi pelarian Rohingya dipindahkan ke Bhasan Char

Pelarian Rohingya dibawa menaiki kapal tentera laut Bangladesh ketika mereka dipindahkan ke Pulau Bhasan Char di Teluk Bengal di Chittagong pada akhir Januari lalu. Foto: AFP
Pelarian Rohingya dibawa menaiki kapal tentera laut Bangladesh ketika mereka dipindahkan ke Pulau Bhasan Char di Teluk Bengal di Chittagong pada akhir Januari lalu. Foto: AFP
A
A
A

DHAKA - Bangladesh akan memindahkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 lagi pelarian Rohingya ke pulau terpencil di Teluk Bengal, menurut dua pegawai pada Ahad walaupun kebimbangan semakin meningkat tentang risiko ribut dan banjir yang mengancam lokasi tersebut.

Komander Angkatan Tentera Laut, Rashed Sattar berkata, proses pemindahan ke Bhasan Char itu akan dilakukan pada Isnin dan Selasa.

Sejak awal Disember lalu, Dhaka telah menempatkan kira-kira 7,000 pelarian Rohingya di pulau terbabit.

Sebahagian daripada kumpulan pertama yang dipindahkan itu mendakwa mereka dipaksa walaupun Bangladesh memberi jaminan proses itu dilakukan secara sukarela.

Difahamkan, sejurus golongan itu tiba di Bhasan Char, pelarian Rohingya terbabit dilarang meninggalkan pulau tersebut yang kedudukannya mengambil masa beberapa jam perjalanan dari pelabuhan Chittagong.

Dhaka turut menolak kegusaran banyak pihak terhadap tahap keselamatan di pulau itu dengan menyatakan mereka sudah membina benteng halangan banjir, kediaman untuk 100,000 pelarian Rohingya, hospital dan pusat perlindungan ribut. - Agensi

Artikel Berkaitan: