Kes baharu Covid-19 terus catat angka menurun

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu dicatatkan sebanyak 2,176 kes, selain merekodkan 10 kematian baharu.
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu dicatatkan sebanyak 2,176 kes, selain merekodkan 10 kematian baharu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus merekodkan penurunan kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan mencatatkan 2,176 kes.

Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga kes baharu kurang daripada angka 3,000 dalam bulan ini dengan 2,464 kes baharu dilaporkan pada Ahad manakala 2,764 kes dicatatkan pada 9 Februari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 266,445 kes dengan kes aktif sebanyak 47,135.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,175 kes merupakan penularan tempatan melibatkan1,618 warga tempatan dan 557 warga asing manakala baki satu kes merupakan kes import melibatkan warga tempatan yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Beliau berkata 4,521 jumlah kes sembuh Covid-19 harian dilaporkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh seluruh negara setakat ini 218,335 kes.

Bagaimanapun, beliau berkata, 10 kes kematian akibat Covid-19 dilapor dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan sejumlah 975 orang meninggal dunia akibat pandemik berkenaan setakat ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini terdapat 260 kes ditempatkan di unit rawatan rapi dengan 112 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata 13 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 10 daripadanya kluster tempat kerja serta masing-masing satu kluster membabitkan komuniti, pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Kluster itu dikenal pasti di beberapa lokaliti di Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan Perak.

Kluster di Selangor ialah Jalan Kepong, Jalan Tropicana, Jalan Bursa, Jalan Tiga Belas dan Jalan Cheras manakala di Pulau Pinang pula ialah Jalan Baru dan Tapak Bina Persiaran Mutiara.

‘’Terengganu turut mencatatkan dua kluster iaitu Guntong Dalam dan Pangkalan Teras, sementara empat kluster lain pula ialah Jalan Jinjang (Kuala Lumpur), Jalan Senai Utama (Johor), Teknologi Lot Enam (Melaka) dan Tembok Tapah (Perak),’’ katanya.

Beliau berkata, lapan kluster dilaporkan tamat hari ini menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 489 kluster.

Katanya kluster tamat ialah Jalan Sibuga, Taman Tasik Sungai Chua, Jalan Bukit Bendera, Lumut Barat, Pagar Siput, Kampung Renok, Sungai Redan dan Bah Manggis.- Bernama