UMNO Bukit Gantang patuh larangan kerjasama dengan Bersatu

Kenyataan Mohammad Sollehin di laman Facebook Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Isnin.
Kenyataan Mohammad Sollehin di laman Facebook Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ahli UMNO Bahagian Bukit Gantang di semua peringkat digesa akur dengan keputusan UMNO Perak mengenai hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pemuda bahagian berkenaan, Mohammad Sollehin Mohd Tajie berkata, semua kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan harus patuh dengan larangan dalam sebarang kerjasama dengan Bersatu melainkan mendapat kelulusan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Beliau berkata, UMNO Bukit Gantang perlu terus bergerak ke hadapan dengan tidak lagi membincangkan perkara yang telah diputuskan oleh kepimpinan parti.

"Saya sendiri mengakui kekhilafan dan kelemahan daripada pihak bahagian dalam menangani isu ini dalam kadar segera. Ia sedikit sebanyak telah mengakibatkan kekeliruan kepada ahli parti dari segi kerjasama yang dibenarkan antara UMNO dan Bersatu.

"Saya harap janganlah kita terperangkap dengan helah musuh yang cuba menimbulkan permusuhan dan perbalahan sesama kita. Adalah lebih baik kita bersatu hati menggerakkan seluruh jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedikit masa lagi," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Isnin.

Mohammad Sollehin berkata, jentera UMNO Bahagian Bukit Gantang perlu memastikan kerusi Parlimen Bukit Gantang kekal ditandingi mereka pada PRU15 selain mengekalkan kemenangan yang diperoleh sebelum ini.

Pada 11 Februari lalu, UMNO Bahagian Bukit Gantang dilapor mengeluarkan satu notis rasmi kepada semua ahli untuk tidak membenarkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

Surat yang dimajukan kepada Exco UMNO Bahagian, jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua sayap bahagian serta cawangan itu menggesa supaya pemimpin dan ahli di setiap peringkat tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lawan termasuk Bersatu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO Bukit Gantang larang ahli kerjasama dengan Bersatu