Nenek jaga tiga cucu yatim piatu sekelip mata

Che Som dan cucu-cucunya terharu menerima kunjungan dan sumbangan daripada Suzaimi (tiga, dari kiri) dan Mohd Azran (dua, dari kiri) di rumah mereka di Kampung Cabang Tiga Gemas, Jalan Sungai Sam-Dabong, Kuala Krai.
Che Som dan cucu-cucunya terharu menerima kunjungan dan sumbangan daripada Suzaimi (tiga, dari kiri) dan Mohd Azran (dua, dari kiri) di rumah mereka di Kampung Cabang Tiga Gemas, Jalan Sungai Sam-Dabong, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Walaupun usia sudah mencecah 72 tahun, seorang warga emas tetap mahu menjaga tiga cucunya yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Sam-Dabong dekat Ladang Kuala Gris, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi pada 3 Februari lalu.

Che Som Hussin berkata, tanggungjawab tersebut bagi memastikan tiga beradik berusia 10, 9 dan 5 tahun itu membesar dengan kasih sayang yang secukupnya susulan telah kehilangan tempat bermanja selepas bapa mereka, Mohd Hafeez Ibrahim@Yusoff, 32, dan ibu, Surina Mohd Othman, 36, meninggal dunia.

Mohd Hafeez meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong manakala Surina maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang turut meragut nyawa ibu saudara tiga beradik berkenaan, Rahimah Ibrahim@Yusoff, 51, yang juga kakak kepada bapa mereka.

"Bagi memastikan ingatan tiga beradik ini kepada arwah ibu bapa mereka kekal subur, seluruh ahli keluarga sepakat untuk membawa mereka menziarahi pusara setiap hari Jumaat," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Cabang Tiga Gemas, Jalan Sungai Sam-Dabong di sini pada Isnin.

Che Som dan keluarga menerima kunjungan dari Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prhatin Kuala Krai yang menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000 oleh Pengurusnya, Mohd Azran Che Nuri.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Krai.

Kata Che Som, walaupun ahli keluarga terpaksa berulang alik sejauh 50 kilometer (km) untuk menziarahi pusara ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan iaitu di Laloh namun mereka sekeluarga tetap berbuat demikian.

Katanya, perkara tersebut menjadi tanggungjawab dia dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Selain pasangan suami isteri itu, kemalangan tersebut turut meragut nyawa seorang lagi anak saya, Rahimah," katanya.