Covid-19: 17,000 calon SPM 2020 Negeri Sembilan sihat

Md Fiah menyerahkan surat penempatan kepada guru, Al-Ikhlas Isahak.
Md Fiah menyerahkan surat penempatan kepada guru, Al-Ikhlas Isahak.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 17,000 pelajar tingkatan lima di Negeri Sembilan yang dijadualkan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada 22 Februari ini dalam keadaan sihat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, pihaknya menjangkakan kesemua calon dapat menduduki peperiksaan dan turut menasihatkan mereka untuk terus menjaga kesihatan.

"Setakat ini jangkaan kita kesemua calon SPM 2020 di negeri ini masih boleh duduki peperiksaan walaupun ada sekolah yang perlu disanitasi sekarang kerana terdapat kes pelajar atau guru positif Covid-19.

"Terdapat empat buah sekolah iaitu di Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Jelebu yang baharu saja disanitasi baru-baru ini, "katanya ditanya sama ada terdapat kes pelajar calon SPM 2020 yang positif Covid-19.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program penyerahan Surat Penempatan Guru-Guru Baharu Secara Pandu Lalu di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.

Md Fiah berkata, seramai 12 guru baharu ditempatkan di sekolah menengah dan 79 guru ditempatkan di sekolah rendah di negeri tersebut.

Dalam pada itu katanya, selain pelajar yang menghadapi masalah untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pihaknya menjangkakan ada guru juga yang turut menghadapi masalah sama.

"Setakat ini kita tiada lagi laporan guru hadapi masalah laksana PdPR, tapi kita jangka ia berlaku terutama pada guru yang tinggal di kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Tapi apa-apa pun guru-guru perlu laksana PdPr, ikut kesesuaian setempat dan perlu ambil inisiatif, sendiri," katanya.