Kerajaan Kelantan benarkan 20 orang hadir akad nikah

Dr Izani
Dr Izani
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan 20 individu menghadiri majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, perkara tersebut diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memaklumkan kelonggaran tersebut kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) dalam waktu terdekat.

"Sebelum ini kita benarkan hanya tujuh orang untuk majlis akad nikah tapi hari ini kita putuskan untuk beri kelonggaran melibatkan 20 orang iaitu 10 orang sebelah perempuan dan 10 orang sebelah lelaki.

"Bagaimanapun kenduri perkahwinan masih tidak dibenarkan sebagaimana yang kita maklum dan saya harap semua yang hadir dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP),"katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim.

Mengulas lanjut, Izani berkata, langkah pematuhan SOP terutama pemakaian penutup muka dan penjarakan fizikal perlu diambil serius memandangkan sebelum ini kenaikan kes Covid-19 di negeri ini adalah melibatkan majlis keramaian dan juga rentas negeri.

Katanya, walaupun kini beberapa skop perniagaan dibenarkan dibuka, namun semua pihak harus sentiasa berjaga-jaga bagi mengelak daripada disabitkan kesalahan dan dikompaun.

Artikel Berkaitan: