Kes jenayah melibatkan pelajar Pulau Pinang turun

Narenasagaran bersalaman dengan Mahanom selepas Mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Peringkat Negeri Pulau Pinang tadi.
Narenasagaran bersalaman dengan Mahanom selepas Mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Peringkat Negeri Pulau Pinang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kes jenayah di Pulau Pinang melibatkan pelajar sekolah menurun secara ketara dengan 54 kes dicatatkan pada tahun lalu berbanding 121 kes pada 2017.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, penurunan itu adalah hasil program yang dilaksanakan polis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

Menurutnya, selain jenayah, kes narkotik yang melibatkan pelajar sekolah juga menunjukkan penurunan iaitu 42 bagi tahun lalu berbanding 69 kes pada 2017.

"Polis dan JPN Pulau Pinang sejak dari dahulu lagi memang bekerja rapat dalam menangani isu penglibatan pelajar dengan jenayah. Pelbagai program dianjurkan antaranya program pegawai perhubungan sekolah (PPS). Menerusi program ini, pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di setiap sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

"Setiap bulan, sekurang-kurangnya dua kali PPS akan ke sekolah untuk berjumpa dengan guru besar atau pengetua , atau pun guru disiplin tentang pelajar di sekolah masing-masing. Pada masa itu, kita akan berkongsi maklumat yang ada untuk mengetahui tahap penglibatan pelajar dengan jenayah.

"Dari situ kita boleh bertindak iaitu menyemai perasaan benci pelajar terhadap jenayah di sekitar mereka selain memberi kesedaran tentang risiko sekiranya terlibat dengan jenayah," katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Narenasagaran menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Peringkat Negeri Pulau Pinang bersama pegawai polis dan Pengarah JPN Pulau Pinang, Dr Mahanom Mat Sam di Pejabat JPN Pulau Pinang, Bukit Gambir di sini.

Sementara itu, Mahanom berkata, mesyuarat tersebut memfokuskan bantuan kepada pelajar untuk membentuk sahsiah dan disiplin supaya tidak terlibat dengan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun statistik jenayah melibatkan pelajar menunjukkan penurunan, namun usaha untuk membendung pelajar sekolah dari terlibat dengan jenayah akan dilipat gandakan.