Jepun menilai kerosakan selepas gempa bumi

Gempa bumi mengakibatkan tanah runtuh berlaku di lebuh raya. - Foto Reuters
Gempa bumi mengakibatkan tanah runtuh berlaku di lebuh raya. - Foto Reuters
A
A
A

TOKYO - Jepun menilai dan mengesahkan enam unit janakuasa elektrik mengalami kerosakan selepas gempa bumi 7.3 magnitud melanda bahagian pantai timur negara itu pada lewat Sabtu tetapi tiada kematian dilaporkan.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, pusat gempa bumi itu terletak 60 kilometer (km) dari pantai wilayah Fukushima, lapor NHK.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata, kira-kira 150 orang cedera dan hampir satu juta rumah terputus bekalan elektrik pada hari kejadian dan bekalan elektrik kembali pulih pada Ahad.

Menurut laporan, enam unit itu memacu penjana elektrik dengan kuasa sejumlah kira-kira 3.6 gigawatt (GW) dijangka tidak berfungsi dalam masa terdekat.

Gegaran kuat itu berlaku sebulan sebelum ulang tahun ke-10 gempa dan tsunami pada 11 Mac 2011 yang menyebabkan keruntuhan pada tiga reaktor loji nuklear Fukushima Dai-ichi dan menyebabkan kira-kira 19,000 orang mati atau hilang.

Akibat gempa bumi beberapa syarikat gergasi juga terkena tempiasnya termasuk:

- Syarikat Mitsui Chemicals memaklumkan kilangnya terpaksa ditutup kerana gangguan bekalan elektrik dan mengambil masa 10 hari untuk pulih.

- Syarikat ENEOS Holdings memberitahu, kilang di Sendai terpaksa menghentikan operasi buat sementara, begitu juga beberapa unit kilang di Negishi.

Artikel Berkaitan:

- Syarikat Idemitsu Kosan memberitahu, satu-satunya unit penyulingan minyak mentah dan beberapa unit di Chiba dihentikan kerana gangguan bekalan elektrik.

- Kilang JFE Steel di wilayah Miyagi juga ditutup selepas gempa sementara Syarikat Nippon Steel memberitahu, kilangnya beroperasi seperti biasa pada Ahad.

- Syarikat pembuatan Murata juga menghentikan operasi seketika di Fukushima dan Miyagi.

- Syarikat Japan Petroleum Exploration yang membekalkan loji janakuasa gas juga menangguhkan operasi.

- Syarikat Renesas Electronics menghentikan operasi sementara waktu.

- East Nippon Expressway (Syarikat Lebuhraya Nippon Timur) mengatakan lebuh raya menghubungkan Fukushima dan Miyagi ditutup kerana tanah runtuh.

- East Japan Railway (Syarikat Kereta Api Jepun Timur) memberitahu, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dihentikan sementara dan mengambil masa sekurangnya 10 hari untuk meneruskan perkhidmatan.