15 tapak pembinaan tidak patuh SOP diarah tutup operasi

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan 15 tapak pembinaan di seluruh negara ditutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, sejak PKP dilaksanakan pada 13 Januari lepas, CIDB menjalankan pemeriksaan ke atas 1,022 tapak pembinaan dan 1,007 didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, setakat pada Ahad, 15 tapak pembinaan diberikan notis kerana kegagalan pematuhan dari aspek penempatan pekerja, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

"Kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Antara punca yang dikenal pasti adalah penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain yang berkemungkinan membentuk kluster pembinaan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi ketika PKP agar mematuhi SOP di tapak pembinaan dan penempatan pekerja bagi mengelak berlaku jangkitan serta pandemik Covid-19.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi arahan ditetapkan selain tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran mereka dibatal atau digantung,” katanya.

Menurut beliau, SOP terkini boleh dirujuk di laman sesawang CIDB www.cidb.gov.my/ms/pkpkebenaran-beroperasi manakala Garis Panduan Industri Pembinaan boleh didapati di Telegram rasmi CIDB https://t.me/cidbmy atau hubungi Hotline CIDB 03-5567 3300 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, sejak 20 Sept 2020 hingga 12 Februari lepas, 527 kluster dikenal pasti melibatkan tempat kerja daripada keseluruhan 852 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik Covid-19 di seluruh negara. - Bernama