Putera Harry, isteri tunggu kelahiran anak kedua

Gambar fail Putera Harry dengan isterinya, Meghan Markle. - Foto AFP
Gambar fail Putera Harry dengan isterinya, Meghan Markle. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry dan isterinya dari Amerika Syrikat (AS), Meghan Markle kini menunggu kelahiran anak kedua mereka, kata jurucakap pasangan tersebut pada Ahad.

Pasangan itu menyiarkan imej berwarna hitam dan putih yang menunjukkan mereka berada di bawah sebatang pokok sambil tersenyum dengan Meghan, 39, menunjukkan perutnya yang hamil.

"Kami boleh mengumumkan bahawa Archie akan menjadi abang besar," kata jurucakap itu seperti dilaporkan oleh AFP.

Beliau merujuk Archie yang merupakan anak lelaki pasangan tersebut.

Harry, 36, merupakan cucu kepada pemerintah Britain iaitu Ratu Elizabeth II manakala Meghan ialah seorang bekas pelakon televisyen.

Mereka yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 pernah mengumumkan sebelum ini tidak akan menjalankan tugas-tugas diraja pada Mac tahun lalu dan kini menetap di California, AS.

Meghan juga pernah keguguran pada Julai tahun lalu dan mendedahkannya kepada akhbar New York Times pada November tahun lepas.

Jurucakap Istana Buckingham berkata, Ratu Elizabeth II, suaminya, Putera Phillip, anak mereka iaitu Putera Charles yang menggunakan gelaran Putera Wales dan juga bapa Putera Harry termasuk seluruh keluarga diraja Britain berasa gembira selain berharap pasangan tersebut berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

Putera Harry merupakan anak kepada pewaris kedua takhta Britain iaitu Putera Charles dengan bekas isterinya, Puteri Diana yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya bersama Dodi Al-Fayed yang juga anak kepada jutawan kelahiran Mesir, Mohamed Al-Fayed pada tahun 1997 di Paris.

Pewaris ketiga takhta Britain kini ialah abang Putera Harry iaitu Putera William yang berkahwin dengan Kate Middleton.

Pada Mac tahun lalu, sebuah laman sesawang diraja Britain dilaporkan menyatakan bahawa Putera Harry masih kekal sebagai pewaris taktha keenam monarki British.

Pasangan itu pada tahun lalu melancarkan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan iaitu Archewell selepas tidak lagi menggunakan gelaran diraja Duke dan Duchess of Sussex. - Agensi