X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Presiden Argentina, Carlos Menem meninggal dunia

Gambar fail Carlos Menam. - Foto AFP
A
A

BUENOS AIRES - Bekas Presiden Argentina, Carlos Menem meninggal dunia ketika berumur 90 tahun di sebuah klinik di Buenos Aires pada Ahad selepas tahap kesihatannya merosot dan dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana penyakit radang paru-paru.

Presiden negara itu, Alberto Fernandez mengisytiharkan hari berkabung kebangsaan selama tiga hari dan melahirkan perasaan amat sedih menerusi akaun Twitternya selain menyampaikan takziah kepada keluarga Menem.

Menurut AFP, anak perempuan Menem, Zulemita, bapanya akan dikebumikan bersebelahan dengan Carlos Menem Junior iaitu anak lelakinya yang terbunuh dalam satu nahas helikopter pada tahun 1995 di kawasan Perkuburan Islam di Buenos Aires.

Dilahirkan pada Julai 1930 dalam sebuah keluarga Syria yang menyebabkan beliau mendapat gelaran sebagai "Orang Turki", Menem tidak pernah kalah dalam pilihan raya negara tersebut.

Beliau berkhidmat sebagai presiden sebanyak dua penggal iaitu dari tahun 1989 hingga 1999.

Selepas menarik diri untuk bertanding sebagai presiden buat penggal ketiga, beliau telah dipilih menjadi seorang senator pada tahun 2005 dan dipilih semula bagi menduduki jawatan itu beberapa kali.

Menem dikenali sebagai pembawa keajaiban ekonomi Argentina apabila beliau membuat keputusan untuk menetapkan kadar tukaran wang peso negaranya dengan dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga membawa kestabilan ekonomi dan menamatkan hiperinflasi.

Namun, pendekatan ekonominya telah menyebabkan krisis ekonomi berlaku di Argentina pada tahun 2001 iaitu selepas beliau tidak lagi berkhidmat sebagai presiden apabila hutang negaranya mencecah AS$100 bilion (RM404 bilion), hutang gagal dibayar mengikut jadual, nilai mata wangnya merosot dan kadar pengangguran meningkat.

Menem juga dikenali dengan imej playboy, memandu kereta mewah Ferrari dan bermain golf.

Pada tahun 2018, beliau dihukum penjara tiga tahun kerana didapati bersalah kerana penggelapan wang tetapi imuniti Parlimen melindunginya daripada menjalani hukuman penjara.

Menem mempunyai tiga orang anak daripada dua perkahwinan iaitu yang pertama dengan Zulema Yoma dan dengan bekas ratu cantik Miss Universe, Cecilia Bolocco.

Presiden Chile, Sebastian Pinera menyatakan dalam akaun Twitternya bahawa Menem merupakan seorang rakan yang baik untuk negaranya berikutan kematian bekas Presiden Argentina tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!