Permintaan nanas Morris kurang disebabkan PKP 2.0: LPNM

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lambakan nanas Morris di pasaran berlaku antaranya akibat kekurangan permintaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya mengambil maklum isu tersebut yang dilaporkan berlaku membabitkan pekebun nanas di Batu Pahat, Kluang dan Pontian.

Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan pembatalan pembelian antara pihak pemborong dengan pekebun, seterusnya nanas tidak dapat dijual seperti biasa.

"Ia juga berpunca daripada kekurangan permintaan di pasaran kerana pelaksanaan PKP terutama bagi segmentasi masakan yang kebiasaannya melibatkan majlis kenduri kendara, sektor perhotelan dan restoran.

"LPNM bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sudah mengambil langkah yang proaktif dengan membuat pemantauan awal terhadap pekebun di lapangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sahruddin
Sahruddin

Baru- baru ini, tular di media sosial pekebun kecil mengalami kerugian ribuan ringgit setelah tanaman yang diusahakan tidak dapat dipasarkan.

"Terdapat sesetengah pihak yang menuduh pihak kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul ini.

Artikel Berkaitan:

"LPNM dan Fama menyediakan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun yang terjejas dengan pembelian oleh Fama dan pemadanan bersama pihak kilang, pengetinan serta pemborong dan peruncit yang memerlukan.

"Namun begitu, terdapat pekebun yang terus berusaha menjual sendiri nanas jenis morris masing-masing untuk mendapatkan lebih keuntungan," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan pekebun nanas di Kampung Parit Betak dan Kampung Parit Haji Ali Darat terpaksa menjual nanas jenis morris dengan harga RM1 bagi mengelak lambakan buah di ladang berikutan peraih tidak membeli nanas dalam kuantiti banyak ketika PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual nanas RM1 sebiji elak lambakan ketika PKP