Wanita pandu lawan arus langgar tiga kenderaan lain

Tindakan seorang wanita memandu kereta melawan arus menyebabkan kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain. - (Kredit pembaca)
Tindakan seorang wanita memandu kereta melawan arus menyebabkan kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain. - (Kredit pembaca)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita memandu keretanya secara melawan arah lalu melanggar tiga kenderaan lain termasuk sebuah motosikal dalam kejadian di susur Jalan Perusahaan Perai di sini kira-kira jam 6.20 petang Ahad.

Akibat kejadian itu, semua mangsa termasuk pemandu wanita berusia 31 tahun tersebut dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6.30 petang dan anggota bertugas terus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati, kemalangan berlaku selepas pemandu wanita tersebut memandu keretanya secara melawan arus menyebabkan kenderaan lain yang terlibat tidak sempat untuk mengelak.

"Kereta wanita tersebut melanggar dua buah kereta dipandu lelaki masing-masing berusia 26 dan 29 tahun, selain melanggar seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan.

"Kesemua mereka tidak sempat mengelak lalu berlaku kemalangan. Kesemua mangsa termasuk wanita tersebut dibawa ke hospital untuk rawatan kerana mengalami kecederaan kecil," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambahnya, polis masih menyiasat motif wanita tersebut memandu secara melawan arus ketika kejadian tersebut.

"Kita akan mengambil keterangan daripada wanita itu secepat mungkin. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: