Hubungan UMNO, Pas menerusi MN masih berjalan: Zahid

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan UMNO dan Pas yang dimeterai menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 masih berjalan dan baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi oleh pihak luar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tahu ramai pihak tertanya-tanya mengenai status terkini Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori UMNO dan Pas pada tahun 2019 itu memandangkan Pas secara rasmi menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“UMNO sebaliknya. UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.

“Apa yang boleh saya katakan, hubungan kedua-dua parti masih baik," katanya ketika mengulas status terkini mengenai MN di Facebooknya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telah wujud sejak tahun 1998.

"Selepas saya mendapat 'Ijazah' Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din di mana waktu itu beliau merupakan Ketua Penerangan Pas.

“Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr Haron Din kepada saya bahawa beliau menyatakan hasratnya melihat UMNO dan Pas dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

“Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2016 dan syukur alhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Zahid, beliau berpandangan kerjasama UMNO dan Pas perlu diteruskan kerana ia terbukti memberi impak positif dan hubungan fikrah itu akan terus rapat serta dekat.

“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur serta ikhlas untuk bekerjasama,” kata beliau.