Mahkamah tolak permohonan Najib gugurkan Sri Ram

Najib dan Gopal Sri Ram
Najib dan Gopal Sri Ram
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam cubaan ketiganya untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengendalikan perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati dakwaan Najib selaku pemohon bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan adalah tidak bermerit.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, tiada bukti meyakinkan untuk menyokong dakwaan pemohon dan ia bersifat andaian.

“Tidak ada bukti menunjukkan Sri Ram berat sebelah dan setiap orang berhak untuk mempunyai pendapat sendiri termasuk Sri Ram. Mahkamah mendapati pemohon tidak membuat aduan atau laporan mengenai kelakuannya (Sri Ram) semasa perbicaraan,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Najib diwakili peguam, Nur Syahirah Hanapiah sementara pendakwaan (responden) diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pada 27 Januari lalu, Ahmad Akram berkata, Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, tidak pernah dikenakan sebarang salah laku pendakwaan oleh mahkamah sehingga hilang kelayakan untuk mengendalikan kes meminda laporan audit 1MDB.

Beliau berkata, isu siasatan dan berat sebelah yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut telah diputuskan oleh mahkamah dan ‘res judicata’ (perkara diputuskan) terpakai.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membalas hujahan tersebut dengan berkata, permohonan menggugurkan Sri Ram bukan bertujuan membatalkan keseluruhan perbicaraan (audit 1MDB) yang berlangsung setakat ini tetapi hanya untuk melihat prosiding dilakukan tanpa berat sebelah.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu katanya, bukan bertujuan menghukum sesiapa atau Sri Ram tetapi menentukan sifat berat sebelah yang nyata kerana Sri Ram telah membuat andaian Najib bersalah sebelum didakwa di mahkamah.

Pada 12 Jun tahun lalu, Najib, 68, mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram dengan disokong oleh dua afidavit yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.