Permohonan peranti percuma dibuka hari ini

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Permohonan peranti percuma untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disediakan oleh kerajaan Negeri Sembilan kepada pelajar memerlukan mula dibuka hari ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, permohonan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri(DUN) masing-masing.

"Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dan Penyelaras DUN akan memproses serta menilai sebelum membuat pemilihan untuk pelajar-pelajar yang berjaya.

"Keutamaan pemilihan akan diberi kepada pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) diikuti pelajar Tingkatan Enam, Lima dan ke bawah," katanya pada hantaran di laman Facebook rasminya.

Beliau berkata, meskipun satu keluarga mempunyai lima orang anak bersekolah, namun mereka hanya dibenarkan memiliki satu unit sahaja.

Jelasnya, ia bagi membolehkan lebih ramai keluarga yang dapat menerima manfaat kemudahan alat peranti yang disediakan itu.

"Setiap Pusat Khidmat Rakyat di 36 DUN akan diperuntukkan sebanyak 100 unit peranti.

"Inisiatif kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu pelajar dalam kaedah pembelajaran PdPR adalah di atas keinsafan bahawa ramai pelajar tidak mempunyai kemudahan peranti untuk mereka belajar secara sempurna dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membantu generasi pelajar kerana pendidikan adalah pelaburan kritikal untuk masa hadapan negara.