UMNO Sabah sasar 13 kerusi PRU15: Bung Moktar

Bung Moktar ketika mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mengikut fakta pada PRU ke-14, UMNO diberikan kerusi untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Parlimen Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Menurutnya, sasaran itu berpandukan kepada kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihanraya (JUARA) UMNO Sabah di mana Sekretrariat Penyelidikan yang di pengerusikan oleh Ir Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat kepada UMNO bagi kerusi yang dituntut.

"Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi oleh UMNO," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO pada Sabtu.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO berkata, dalam soal agihan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU ke-15 akan datang, rundingan awal bersama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dilakukan secara telus.

"Rundingan awal akan dilakukan berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ia perlu diputuskan lebih awal tanpa menunggu saat-saat akhir menghadapi pilihan raya.

"Dalam PRU-15, kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah, jadi mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik kehendak pengundi dan lokaliti," katanya.

Terdahulu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri yang diwakili oleh UMNO sebelum mengadakan mesyuarat perhubungan UMNO Sabah.

Artikel Berkaitan:

Ketika perjumpaan itu, Bung Moktar turut mengingatkan mereka supaya lebih proaktif turun padang menangani masalah rakyat terutamanya ketika pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kebanyakan rakyat di luar bandar terjejas serta memerlukan bantuan.

"Saya harap semua wakil rakyat UMNO mengekalkan momentum untuk terus bekerja dan bersama rakyat sejak diangkat menjadi wakil rakyat dan bukannya bekerja ketika dekat pilihan raya saja," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar turut memaklumkan sambutan 30 tahun UMNO melebarkan sayapnya ke Sabah akan diadakan pada 20 Febuari ini dengan perhimpunan secara sederhana yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Bangunan UMNO Sabah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, Pengerusi JUARA UMNO Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Pengarah PRU ke-15, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.