Bertani dan berternak di perkuburan

Pengerusi Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS), Datuk Che Roslan Che Daud menunjukkan dokumen tanah itu selepas meninjau tapak kubur berkenaan pada Sabtu.
Pengerusi Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS), Datuk Che Roslan Che Daud menunjukkan dokumen tanah itu selepas meninjau tapak kubur berkenaan pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Tanah perkuburan Islam di Sungai Sekamat di sini didakwa dijadikan tempat projek penternakan dan pertanian.

Tanah perkuburan yang biasanya sunyi sepi itu dikatakan diteroka oleh sebuah pusat jagaan orang tua sejak beberapa tahun lalu yang berlarutan hingga kini.

Perkara itu didedahkan Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat yang mewakili lebih 15,000 penduduk sekitar kariah Sungai Sekamat dekat sini.

Pengerusinya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, pihak terbabit dipercayai meneroka kira-kira 1.38 hektar daripada empat hektar tanah perkuburan di situ. Menurut beliau, pelbagai bentuk aktiviti dilakukan antaranya penternakan kambing, kolam ikan keli, penanaman pokok buah dan pembinaan beberapa struktur bangunan kekal.

“Badan bertindak ini mula melakukan tinjauan pada 4 Jun tahun lalu selepas menerima aduan penduduk dan berpandangan isu pencerobohan tanah di kawasan tanah perkuburan perlu diselesaikan segera.

Tinjauan oleh Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS) ke tapak kuburan pada Sabtu.
Tinjauan oleh Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS) ke tapak kuburan pada Sabtu.

“Ia berdasarkan maklumat (Pejabat Tanah) bahawa tapak Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat masih berstatus tanah kerajaan negeri dan tiada Pelan Akui (PA) dan Pelan Warta Rizab.

“Tanah perkuburan ini asalnya milik individu sebelum pengambilan dibuat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh kerajaan Selangor pada tahun 1967 bagi tujuan tapak perkuburan,” katanya kepada Sinar Harian.Che Roslan berkata, sekiranya aktiviti terbabit tidak dihalang, ia akan menyebabkan penyusutan keluasan tapak kubur sedia ada sekali gus menimbulkan kesukaran kepada penduduk kelak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anggaran semasa jumlah penduduk ialah 15,680 orang membabitkan Kampung Sungai Sekamat (4,000), Sungai Balak (700), Bukit Dukung (1,450), Batu 13 (560), Taman Sekamat dan Pinggiran Sekamat (1,350).

Katanya lagi, anggaran itu termasuk penduduk di Taman Koperasi Cuepacs membabitkan 1,600 orang, Taman Kasih dan Bayu Sekamat (920), Taman Delima (1,500), Taman Mesra (920) serta Taman Impian Makmur (2,680).

Pelan Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang.
Pelan Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk khususnya kariah Sungai Sekamat bakal menghadapi risiko kesukaran untuk mencari tapak perkuburan baharu pada masa yang akan datang,” katanya.

Syor tindakan segera pihak berkuasa

BADAN Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat telah mengambil langkah proaktif menyediakan satu laporan lengkap kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain berunding dengan pihak berkuasa yang lain.

Menurut Pengerusinya, Datuk Che Roslan Che Daud, usaha tersebut bagi memastikan tapak Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat dikekalkan sebagaimana niat asalnya iaitu menjadikannya sebagai tanah perkuburan.

“Usaha ini mendapat sokongan padu daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Sekamat, MPKK Bukit Dukung, Persatuan Penduduk Taman Sekamat, Masjid Kariah Sungai Sekamat, surau-surau kariah dan penduduk setempat.

“Sokongan itu menandakan isu itu dekat di hati mereka, khususnya kariah Sungai Sekamat dan ia perlu diselesaikan segera bagi maslahat penduduk setempat,” ujar beliau.

Tinjauan oleh Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS) ke tapak kuburan pada Sabtu.
Tinjauan oleh Badan Bertindak Mempertahankan Pengekalan Tanah Perkuburan Sungai Sekamat (BBMPTPSS) ke tapak kuburan pada Sabtu.

Malah, sebanyak 838 tandatangan penduduk setempat berjaya dikumpulkan walaupun ketika ini mereka berhadapan sedikit kekangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, badan bertindak itu mengesyorkan JAIS mengambil tindakan susulan untuk berunding dengan pihak berkuasa negeri bagi mewartakan tapak tanah perkuburan itu di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 56/1965] dan menetapkan JAIS sebagai pegawai pengawal serta diurus tadbir Jawatankuasa Masjid Sungai Sekamat.

Di samping itu, JAIS disyorkan memberi kebenaran kepada Jawatankuasa Masjid Kariah Sungai Sekamat memagar sempadan tanah yang dipercayai diceroboh oleh pusat kebajikan berkenaan.

Gambaran lokasi pencerobohan di tapak perkuburan berkenaan.
Gambaran lokasi pencerobohan di tapak perkuburan berkenaan.

Che Roslan berkata lagi, JAIS melalui Pejabat Daerah dan Tanah perlu mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kepada pusat kebajikan berkenaan supaya memberhentikan aktiviti pencerobohan.

INFO

Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang asalnya merupakan tanah milik perseorangan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan diisytiharkan pada 14 Disember 1967 melalui warta 684 sebagai tapak tanah untuk perkuburan.

Berdasarkan maklumat badan khairat kematian, anggaran purata pengebumian di Tanah Perkuburan Sungai Sekamat ialah sebanyak 180 liang kubur setahun.

Cadangan untuk mempertahankan Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat

1. Status Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat dikekalkan sepertimana hasrat asal.

2. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri bagi mewartakan tapak tanah perkuburan itu di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965) dan menetapkan JAIS sebagai Pegawai Pengawal serta diurus tadbir oleh Jawatankuasa Masjid Sungai Sekamat.

3. JAIS memberi kebenaran kepada Jawatankuasa Masjid Kariah Sungai Sekamat untuk memagar sempadan tanah yang diceroboh.

4. JAIS memberi kebenaran bertulis kepada Jawatankuasa Masjid Sungai Sekamat bagi memasuki perjanjian penyewaan dengan pihak berkenaan.

5. JAIS melalui Pejabat Daerah dan Tanah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kepada pihak berkenaan supaya memberhentikan aktiviti.