Pusat kebajikan harap pertimbangan JAIS

Mohd Azmi Md Zain
Mohd Azmi Md Zain
A
A
A

KAJANG - Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia mengharapkan pertimbangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memberi kebenaran untuk pihaknya meneruskan aktiviti tanaman dan ternakan di atas Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat di sini.

Pengerusinya, Mohd Azmi Md Zain berkata, sebelum ini pihaknya telah beberapa kali membuat permohonan kepada JAIS berhubung perkara itu, namun tidak mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

Beliau berkata, menerusi mesyuarat pada Julai tahun lalu, JAIS memberi kebenaran kepada pengurusan pusat kebajikan berkenaan beroperasi untuk tempoh tiga tahun lagi dengan guna tanah maksimum sebanyak 0.4 hektar.

“Bagaimanapun, pihak kami telah membuat permohonan semula dengan meminta kelulusan kepada pihak terlibat agar diberi kebenaran membina bangunan kekal untuk penghuni rumah kebajikan ini.

“Namun sehingga kini, masih belum ada jawapan daripada JAIS berhubung permohonan itu. Kami amat berharap ia diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas mengenai status tapak berkenaan, Mohd Azmi berkata, buat masa ini tapak itu belum diwartakan, namun ia diplotkan sebagai kegunaan tanah kubur.

Isu Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat menjadi perhatian apabila penduduk mendakwa tanah tersebut diceroboh untuk dijadikan kawasan bertani dan berternak.
Isu Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat menjadi perhatian apabila penduduk mendakwa tanah tersebut diceroboh untuk dijadikan kawasan bertani dan berternak.

Jelas Mohd Azmi, sejak beroperasi di tapak itu, pihak pengurusan pusat kebajikan berkenaan dikehendaki membayar sewa tapak kepada Jawatankuasa Masjid Sungai Sekamat pada setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

“Sewa tapak ini asalnya RM900 pada tahun 2012, namun ia kemudian dinaikkan kepada RM1,500 dan sehinggalah pada awal tahun lalu, pihak terlibat menaikkan lagi jumlah itu sehingga RM3,000.

“Apabila jawatankuasa masjid mengenakan sewa agak tinggi, kami memang tak mampu dan cuba bangkitkan semula tentang permohonan tanah ini kepada JAIS.

“JAIS kemudian mengeluarkan surat kepada kami agar tidak lagi meneruskan pembayaran sewa berkenaan kepada jawatankuasa masjid buat masa ini,” katanya.Mohd Azmi berkata, aktiviti pertanian dan penternakan di atas tanah kosong berkenaan bertujuan membolehkan penghuni di pusat jagaan itu menjalani terapi kesihatan pada setiap hari.

“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami dah mula kurang terima bantuan dan hasil tanaman inilah digunakan sebagai sumber makanan penghuni di sini,” katanya.

Beliau bagaimanapun reda dengan segala keputusan yang akan dibuat selepas ini, namun mengharapkan pertimbangan dan ihsan daripada JAIS berhubung permohonan berkenaan.