Tiga parti perlu tetapkan kuota kerusi

UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas disaran menetapkan kuota ringkas pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara jujur dan ikhlas, tidak hanya mengambil kira pandangan ahli parti semata-mata.
UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas disaran menetapkan kuota ringkas pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara jujur dan ikhlas, tidak hanya mengambil kira pandangan ahli parti semata-mata.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas disaran menetapkan kuota ringkas pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara jujur dan ikhlas, tidak hanya mengambil kira pandangan ahli parti semata-mata.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, langkah itu adalah proses rekonsiliasi yang wajar dilakukan segera dengan persetujuan bersama demi mempertahankan dominasi parti politik Melayu Islam membentuk kerajaan kelak.

Menurutnya, suara pengundi yang bukan dalam kalangan ahli bagi ketiga-tiga parti itu tidak boleh diketepikan untuk mencapai kesepakatan tersebut.

“Rundingan dimulakan dengan pemberian kerusi kepada ahli Parlimen Bersatu terkini dan yang memegang jawatan serta portfolio tertentu. Ini harus dikekalkan kerana ia asas rundingan bagi pengagihan kerusi.

“Seterusnya, kuota berhubung peratusan ahli Parlimen antara Pas, UMNO dan Bersatu dalam kerajaan melalui peratusan mudah berdasarkan nisbah pemilikan kerusi pembentukan kerajaan semasa Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

“Ini perlu dilakukan dengan segera kerana jelas PRU15 amat penting bagi mengekalkan dominasi politik Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai pendirian UMNO Perak yang tetap bertegas supaya Bersatu tidak bertanding di kerusi milik UMNO.

Noor Nirwandy memaklumkan, pendirian terbuka UMNO Perak itu sudah dijangka berdasarkan kehendak ahli akar umbi yang tidak mahu berkompromi kerusi itu diserahkan kepada Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Namun, katanya, perkara tersebut perlu dikaji dengan lebih tepat sebelum sebarang ketetapan dibuat.

“Adakah semua akar umbi menolak dan sama ada terdapat dalam kalangan ahli-ahli bukan UMNO, bukan Bersatu dan bukan Pas yang mahukan perpaduan ummah serta satu bentuk perpaduan berlaku dalam PRU akan datang di peringkat negeri dan peringkat tertentu,” katanya.

Beliau berkata lagi, sekiranya UMNO ingin membentuk sebuah jajaran baharu dengan parti lain, mereka harus memikirkan risiko tertentu terutama kehilangan sokongan daripada mereka yang tidak mempunyai parti dan bukan dalam kalangan ahli UMNO.

“Dalam peringkat nasional sudah tentu ia memberikan perkara yang lebih mustahak kerana pada ketika ini parti Bersatu, Pas dan UMNO memegang kerajaan.

“Jika tiada satu perpaduan dalam kalangan ketiga-tiga parti, kemungkinan besar satu pembentukan kerajaan akan datang tidak lagi boleh didominasi oleh parti politik Melayu-Islam.

“Ketidakupayaan mereka mencari formula perpaduan yang seimbang akan menghilangkan kuasa dominasi politik Melayu-Islam. Akhirnya akan menyebabkan perpecahan yang ketara dalam kerusi yang ditandingi dalam kalangan ahli politik Melayu-Islam,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, tiga parti besar itu perlu mengamalkan konsep bertolak ansur dan timbang tara di antara parti politik Melayu ketika ini.

Katanya, sebarang desakan atau tekanan tanpa sebarang konsensus pembahagian kerusi bakal menjejaskan perpaduan kaum Melayu sendiri.

Tegasnya, parti-parti Melayu tersebut perlu mencari jalan untuk sepakat dalam menentukan kedudukan kerusi mereka pada PRU15.

“Untuk soal Perpaduan orang Melayu, parti-parti politik ini harus mengetepikan agenda masing-masing.

“Saya lihat, konsensus dalam kalangan parti Melayu amat penting bagi menentukan kedudukan posisi masing-masing menjelang PRU15 bagi elakkan undi berpecah dan pembukaan banyak penjuru.

“Yang akan rugi di sini adalah orang Melayu...kita perlu melihat pola pengundian pada PRU-PRU yang lepas.

“Ambil ikthibar daripada PRU14 dan lihat pola pengundian tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Sara berkata, apa yang berlaku di Perak banyak dipengaruhi oleh faktor politik dalaman negeri, namun sekiranya kesepakatan gagal dicapai tidak mustahil ia akan mempengaruhi keputusan di negeri lain.

Ujarnya, landskap politik negara telah banyak berubah dan tentunya akan melibatkan perubahan dari segi kerusi-kerusi yang bakal disandang.

“Setiap parti Melayu mempunyai kelebihan masing-masing, hala tuju dan keperluan tersendiri. Jadi yang penting ialah agenda perpaduan kaum Melayu.

“Meskipun setiap parti ada hak untuk menyuarakan pendapat berkenaan penetapan kerusi yang mahu ditandingi pada PRU15, paling penting ialah konsensus awal,” katanya.