MP Sungai Besar dibenar keluar hospital

Muslimin memuat naik status beliau, sebentar tadi.
A
A

SUNGAI BESAR - Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya yang selamat menjalani pembedahan jantung 4 Februari lalu, dibenarkan keluar dari sebuah hospital di negeri ini, hari ini .

Pegawai Khas Ahli Parlimen Sungai Besar, Mohd Hafiz Ahmad berkata, keadaan kesihatan Muslimin beransur pulih dan kini berada di sebuah pusat pemulihan di ibu negara.

"Beliau (Muslimin) mengikut prosedur pemulihan yang disyorkan dan perlu banyak berehat buat masa ini," katanya.

Mohd Hafiz berkata, Muslimin tidak sabar untuk kembali berkhidmat seperti sedia kala namun beliau perlu berehat agar dapat pulih sepenuhnya.

"Kita harap Muslimin segera sembuh dan dapat meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di Parlimen ini," katanya.

Sementara itu, Muslimin menerusi status di Facebook beliau mengucapkan setinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT.

"Alhamdulilah, hanya itu yang mampu diucapkan. Terima kasih (kepada mereka yang mendoakan).

"Tahap (pemulihan) semakin baik dan segalanya atas kehendak ALLAH. Terima kasih anak buah," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Muslimin yang selamat menjalani pembedahan jantung 4 Februari lalu dilaporkan dalan keadaan stabil.

Anak sulung Muslimin, Mohammad Shahrul Fitri, 21, berkata, bapanya itu kembali sedar dan menunjukkan perkembangan positif pada setiap hari.

Bagaimanapun, ujarnya, doktor menasihatkan bapanya itu lebih banyak berehat dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan selepas pembedahan.