Beri kebebasan media lapor berita benar, telus

Semua media berdaftar di negara ini tidak kira media cetak mahupun elektronik seharusnya diberi ruang serta kebebasan untuk memainkan peranan sebagai cermin masyarakat.
Semua media berdaftar di negara ini tidak kira media cetak mahupun elektronik seharusnya diberi ruang serta kebebasan untuk memainkan peranan sebagai cermin masyarakat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua media berdaftar di negara ini tidak kira media cetak mahupun elektronik seharusnya diberi ruang serta kebebasan untuk memainkan peranan sebagai cermin masyarakat.

Peguam Mazlan Md Zain berkata, media perlu digalakkan untuk membuat laporan yang tepat dengan mendapat sokongan dan perlindungan daripada pihak yang memiliki ‘kuasa’ dan jangan sesekali memberi sebarang tekanan pada laporan berita dengan meletakkan pelbagai syarat tidak munasabah.

“Sebagai contoh, membenarkan media melaporkan kes-kes tertentu sahaja dengan alasan perlu menjaga sensitiviti individu tersebut selain menetapkan beberapa syarat lain antaranya tidak boleh memaparkan wajah tertuduh, tidak boleh memaklumkan nama atau jawatan dan lain-lain.

“Jadi, bagaimana pihak media hendak menjalankan peranan media yang umum sedia maklum media merupakan tiang keempat selain Eksekutif, Kehakiman dan Parlimen dalam sistem demokrasi hari ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mazlan berkata, secara peribadi, beliau berpendapat media perlu diperkasakan kerana ia salah satu elemen terpenting dalam membantu ketelusan politik, tindakan kementerian dan korporat.

“Konsep ketelusan dalam pentadbiran tidak akan mempunyai sebarang makna sekiranya media tidak diberi ruang untuk menjalankan peranan sebagai cermin masyarakat,” katanya.

Menurutnya, jenayah rasuah yang mendatangkan faedah kepada kedua-dua pelaku sama ada pemberi mahupun penerima boleh dikawal dengan adanya laporan media berbentuk siasatan kewartawanan, selain pendekatan siasatan dan penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa.

“Susulan itulah media perlu digalakkan membuat laporan yang tepat dengan mendapat sokongan dan perlindungan daripada pihak berkuasa tanpa memberi sebarang tekanan kepada media.

Artikel Berkaitan:

“Keberkesanan media yang bertindak menyuluh aktiviti-aktiviti rasuah ini bergantung kepada akses terhadap maklumat-maklumat dan perlindungan daripada campur tangan kuasa berbentuk formal atau tidak formal.

“Apabila media bertanggungjawab menyiarkan berita yang diperoleh daripada sumber yang tepat terutama daripada pihak berkuasa tanpa rasa takut dan adil, saya yakin jenayah rasuah ini akan dapat dibendung dengan saksama,” kata beliau.

Katanya, pendedahan media ini boleh membantu pihak berkenaan memulakan siasatan dan sebarang harta atau kemewahan individu hasil dari rasuah boleh disita dan dilucuthakkan di bawah Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

“Tetapi, laporan media itu perlulah telus dan bertanggungjawab. Mempunyai akses kepada maklumat tepat dan dilindungi daripada pengaruh kuasa-kuasa pemerintah atau politik adalah amat penting dalam perang jenayah rasuah ini,” ujarnya.