10 penyelesaian pelarian Rohingya

No Image Caption
A
A
A

ARTIKEL saya berjudul ‘Wakafkan Pulau Untuk Pelarian Rohingya’ telah menarik perhatian pelbagai pihak, sehingga saya diundang oleh Astro Awani untuk membicarakannya secara lebih mendalam.

Di platform Sinar Harian Online, dalam tempoh 24 jam selepas artikel tersebut diterbitkan ia menerima lebih daripada 1,400 komen.

Mungkin penggunaan perkataan ‘Wakafkan’ (yang digunakan secara sengaja) telah mengundang komen-komen kritis dan pedas. Tidak kurang juga komen-komen yang menghujat dan berhamburan dengan caci maki.

Namun, saya tidak tersinggung sedikit pun dan menulis secara reverse thinking juga bertujuan untuk membolehkan saya mendapat pandangan pembaca.

Rumusan yang boleh dibuat daripada komen-komen pembaca ialah rata-rata rakyat Malaysia tidak mahu kerajaan mengizinkan lagi kemasukan pelarian Rohingya dan mendesak kerajaan mengusir keluar pelarian Rohingya yang sudah berada di Malaysia.

Layarilah media sosial yang sarat dengan tulisan, komen dan petisyen anti-Rohingya. Ini bukan xenofobia terhadap pelarian Rohingya tetapi rakyat sepakat sudah mula rimas dan tahu pangkal hujung akibat membenarkan mereka datang dan berada di Malaysia.

Sikap jengkel, kurang ajar dan besar kepala pelarian Rohingya serta sifat tidak tahu berterima kasih serta tidak sedar diri telah membuat rakyat Malaysia mual dan tawar hati.

Rakyat Malaysia dan khususnya orang Melayu tidak lupa dengan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani yang telah menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia dengan tuntutan yang seolah-olah itu semua adalah hak pelarian Rohingya. Tidak lupa juga, video tular yang menuntut Selayang diserahkan kepada mereka dan aksi-aksi kurang ajar kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Pelarian Rohingya dikatakan menggunakan agama dan tangisan untuk mengambil kesempatan. Apatah lagi mereka yang sedang datang bukan lagi lari dari Myanmar kerana penindasan tetapi membolos diri dari kem-kem pelarian di Bangladesh dan masuk sebagai pelarian ekonomi semata-mata untuk memulakan kehidupan baru di Malaysia.

Jelas, telah berlaku satu perubahan dalam hati rakyat Malaysia yang sebelum ini dikenali dengan jiwa besar, berperikemanusiaan dan sentiasa ke hadapan dan terdahulu menghulur pertolongan.

Lihat sahaja bagaimana Malaysia menjadi tuan rumah bermula dengan pelarian Moro dan Mindanao. Disusuli dengan pelarian Vietnam yang berada di Malaysia hampir 30 tahun.

Jangan dunia lupa bahawa Malaysia menjadi bumi selamat bagi pelarian Bosnia. Malah, ketika tsunami melanda Aceh, Malaysia atas persaudaraan Nusantara dan serumpun membuka pintu negara membenarkan mangsa tsunami datang tinggal sementara di Malaysia.

Sehingga 30 Disember 2020, mengikut perangkaan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Malaysia, terdapat 178,610 pelarian dan pencari suaka di Malaysia yang berdaftar.

Daripada jumlah itu, 102,250 adalah pelarian Rohingya, 22,410 Chin dan 29,360 daripada kumpulan etnik Myanmar yang lain.

Suaka

Pada masa sama, terdapat pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang lain termasuk Pakistan (6,610), Yemen (3,650), Syria (3,250), Somalia (3,320), Sri Lanka (1,740), Iraq (1,210), Palestin (750) dan dari negara lain.

Ini belum termasuk pelarian dan pencari suaka yang belum berdaftar dan menjadi pendatang asing tanpa izin.

Walaupun angka rasmi untuk pelarian Rohingya yang terdaftar dengan UNHCR pada akhir Disember 2020 dikatakan hanya 102,250, namun angka ini dipertikaikan. Ini kerana, ada yang menganggarkan pelarian Rohingya sudah mencecah antara 150,000 hingga 200,000 orang dan jauh lebih tinggi jika ditambah dengan pelarian Rohingya yang tidak terdaftar.

Pada tahun 2017, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu menyatakan jumlah pelarian Rohingya yang berada di negara kita adalah sekitar 56,000 orang.

Namun, awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri sekarang, telah memaklumkan angka pelarian Rohingya di Malaysia sehingga Mac 2020 ialah 101,584 orang.

Bayangkan dalam masa tidak sampai tiga tahun, jumlah pelarian Rohingya yang terdaftar telah meningkat 45,584 orang. Ini baru pelarian Rohingya yang terdaftar. Bandingkan dengan pelarian Vietnam yang selama 30 tahun menetap di Malaysia, jumlah keseluruhan mereka dianggarkan 200,000 hingga 250,000.

Melihat kepada pertumbuhan drastik jumlah pelarian Rohingya dan mengambil kira pelarian Rohingya akan berada untuk tempoh waktu yang panjang dan mungkin juga kekal berada di Malaysia, dengan jumlah kelahiran yang tinggi dalam kalangan mereka, etnik ini boleh menjadi etnik terbesar di beberapa negeri di Malaysia.

Oleh yang demikian bukanlah mustahil orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini boleh berakhir sebagai kaum minoriti dalam negara sendiri.

Rohingya yang merupakan orang Islam dan selepas berdekad hidup di Malaysia petah bercakap bahasa Melayu dan mengambil serta menjiwai budaya Melayu yang akhirnya satu hari nanti akan mendesak diiktiraf sebagai kaum bumiputera.

Sehingga Jun 2020, terdapat 860,356 pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh. Peluang mereka ditempatkan di negara ketiga adalah tipis.

Walaupun kerajaan Bangladesh sudah menyediakan sebuah pulau yang khusus dan eksklusif untuk pelarian Rohingya iaitu Pulau Bhasan Char yang hanya 123 kilometer (km) dari kem pelarian yang terdekat di Bangladesh, pelarian Rohingya sanggup merentas laut yang bergelora sepanjang 1,873km ke Langkawi bermain ‘kucing dan tikus’ dengan pihak penguat kuasa untuk menyelinap dan mendarat di pantai Malaysia khususnya di Langkawi.

Pelarian Rohingya tahu apa yang perlu mereka lakukan ialah berikhtiar dan menggunakan apa cara pun asalkan mendarat di Malaysia. Mereka tahu sesampai sahaja di Malaysia, mereka akan mendapat perlindungan UNHCR dan dikurniakan kad UNHCR.

Kad UNHCR ialah kad kebal pelarian Rohingya bebas berkelana seantero Malaysia. Berbekalkan kad UNHCR inilah mereka bebas melakukan apa saja.

Mereka tahu hak mereka sebagai orang pelarian cukup terjamin dan dibela pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan barisan peguam-peguam hak asasi manusia, ada juga ahli Parlimen yang lantang bersuara untuk mereka.

Di mata mereka, Malaysia cukup lembut dan menjaga serta menanggung mereka sampai ada negeri yang mengagihkan wang zakat kepada mereka.

Walaupun mereka mengharapkan penempatan di negara ketiga, namun ibarat tiada rotan akarpun jadilah, Malaysia adalah lebih baik dan syurga jika dibandingkan dengan kehidupan di Bangladesh ataupun Indonesia.

Kaedah

Apakah jalan penyelesaian untuk menangani isu pelarian Rohingya ini?

Pertama, kerajaan harus peka dan sedar dengan perubahan rakyat Malaysia yang sudah melonjak kemarahan mereka.

Kemarahan rakyat adalah api dalam sekam yang akan mengundang padah. Kerajaan wajar serius dan menangani isu pelarian Rohingya dengan lebih tegas, berkesan dan efektif. Masa berlembut-lembut sudah berlalu.

Kedua, kerajaan harus mengarahkan penutupan Pejabat UNHCR di Malaysia. UNHCR kini berperanan sebagai ‘kerajaan dalam kerajaan’. UNHCR menjadi penyelaras dan penyelia kebajikan pelarian Rohingya dengan mengeluarkan kad UNHCR daripada memfokus dan memastikan penempatan pelarian Rohingya di negara ketiga.

Dikatakan dalam enam bulan pertama dari Januari hingga Julai 2020, daripada ribuan pelarian Rohingya yang berlambak di Malaysia, hanya 317 pelarian Rohingya ditempatkan di negara ketiga.

UNHCR juga mula berani menyatakan secara terbuka ketidakpuasan tidak dibenarkan meninjau pusat tahanan pendatang asing tanpa izin dan pelarian.

Tiada apa-apa keperluan untuk UNHCR berada lagi di Malaysia dan kerajaan Malaysia boleh mengambil tugasan penyeliaan pelarian Rohingya dengan cara Malaysia.

Ketiga, Malaysia harus memaklumkan kepada UNHCR bahawa mereka tiada kuasa untuk mengeluarkan kad UNHCR dan semua kad tersebut tidak lagi diiktiraf dan terbatal.

Jika perlu, sebagai negara berdaulat, adalah hak Malaysia untuk mengeluarkan apa-apa kad dan bukan hak mana-mana organisasi luar.

Keempat, kerajaan wajar mengumpulkan dan menempatkan semua pelarian dengan pengasingan lelaki dan perempuan (dan kanak-kanak) dalam pusat-pusat tahanan dan pada masa sama mencari sebuah pulau sebagai penempatan sementara.

Perlu diingat, faktor utama yang mendorong pelarian Rohingya ialah di Malaysia mereka bebas pergi ke mana saja.

Jika mesej yang dihantar kepada pelarian Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di Bangladesh seandainya mereka sampai di Malaysia mereka juga akan ditempatkan dalam kem pelarian di sebuah pulau, mereka akan berfikir dua kali untuk datang ke Malaysia atau memulakan kehidupan baru di Bhasan Char.

Kelima, meminda undang-undang sedia ada dan menggubal undang-undang baharu dan meningkatkan hukuman terhadap tuan punya premis yang tanpa izin dan kebenaran pihak berkuasa menyewakannya kepada pelarian Rohingya dan juga kepada majikan yang menggajikan atau mengambil pelarian sebagai pekerja.

Keenam, menubuhkan sebuah agensi kerajaan khusus untuk menyediakan sebuah pangkalan data yang terperinci dan komprehensif mengenai pelarian yang berada di Malaysia.

Ketujuh, melainkan jika ada mana-mana negara yang bersedia memberikan penempatan negara ketiga, mereka hendaklah dipulangkan ke negara asal. Pengiktirafan pelarian sama ada sebagai warganegara atau penduduk tetap menjadi urusan negara pelarian.

Kelapan, berbincang dengan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan lain-lain negara untuk berkongsi mengambil pelarian Rohingya.

Gambia suatu masa pernah menyatakan kesediaan untuk mengambil kesemua pelarian Rohingya dan juga yang masih berada di Myanmar.

Kesembilan, menambah baik prasarana agensi dalam Pasukan Petugas Kebangsaan dan membentuk skuadran dron untuk memantau perairan Malaysia dan lubuk-lubuk persembunyian pelarian Rohingya.

Kekerapan pelarian Rohingya dapat melepasi pengawasan dan sekatan dan bolos mendarat menunjukkan masih ada kelemahan yang harus diberi perhatian.

Ke-10, berbincang dengan Bangladesh mengenai penempatan sebahagian pelarian Rohingya yang berada di Malaysia di Bhasan Char. Bangladesh tidak sepatutnya menolak saranan Malaysia, apatah lagi Malaysia telah berdekad-dekad membantu rakyat mereka bekerja di Malaysia.

Sekiranya Malaysia masih ambil pendekatan sambil lewa dan bagai melepaskan batuk di tangga isu pelarian Rohingya ini, Malaysia bagaikan mengundang padah kemudian hari.

Sudah sampai masanya untuk kerajaan bersikap tegas dan tiada lagi tolak ansur dengan pelarian Rohingya. Jangan sampai rakyat Malaysia suatu hari nanti bergenang air mata kerana kehilangan negara.

* Norman Fernandez ialah seorang peguam yang menjalankan amalan guaman di Johor Bahru dan telah mengamati isu pelarian Rohingya sejak tahun 2015