X

Kindly register in order to view this article
!

Serasikan niat dan amalan

Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikut SOP ditetapkan bagi memudahkan tugas frontliners.
A
A

SETELAH lebih setahun manusia mengalami satu dugaan penyakit yang amat luar biasa iaitu Covid-19, kita berasa agak dukacita dengan perkembangan yang berlaku dalam kalangan segelintir manusia, termasuk di negara kita, bahawa segala peraturan yang seharusnya diikuti dengan baik untuk menjaga diri daripada jangkitan penyakit yang berbahaya itu, tidak dipatuhi.

Malah kadangkala terasa dalam perasaan kita, bahawa segelintir manusia yang sering melanggar SOP itu, malah sehingga sanggup membayar denda atau dipenjarakan, mungkin merupakan mereka yang sengaja mempunyai sifat dan sikap melawan segala peraturan dan undang-undang.

Sebab itulah agama Islam, dari awal lagi telah menjelaskan bahawa bagi umat Islam, apa-apa saja amalan yang dilakukan sebagai menunaikan kewajipan kepada ALLAH SWT dan amalan baik yang lain, maka pertama sekali mestilah dia berniat kerana ALLAH, kemudian disertakan dengan perbuatan yang sesuai dengan niatnya itu.

Hal ini akan dapat difahami dengan jelas bagi amal ibadat formal atau khusus yang kita lakukan seperti wuduk, solat, puasa dan haji.

Niat berwuduk mestilah disertakan dengan perbuatan rukun wuduk iaitu dengan menyucikan muka dan tangan, menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kaki mengikut peraturan dulu kemudiannya yang dinamakan tertib. Demikian juga ibadat solat, puasa, haji dan amalan lain, yang seharusnya disertakan dengan niat dan perbuatannya.

Islam mengajar umatnya bahawa dengan niat sahaja untuk beribadat, tanpa melakukan segala rukunnya, maka ibadat itu tidak diterima.

Malah sekiranya hanya dengan melakukan perbuatan rukunnya, tanpa disertai niat, maka perbuatan itu tidaklah termasuk dalam amalan kerana ALLAH. Malah seperti yang disebutkan di atas, bahawa ibadat yang diterima oleh ALLAH ialah yang disertai dengan niat di dalam hatinya kerana ALLAH, dan digabungkan dengan segala perbuatan yang menjadi syarat sahnya ibadat itu.

Hal ini sebenarnya terlaksana juga dalam segala amal perbuatan manusia dalam segala bidang kehidupannya, iaitu kerja-kerja kebajikan lain sesama manusia dan haiwan serta alam sekitar, juga dalam pertuturan dan perbuatan sesama manusia dan seterusnya, yang diistilahkan juga sebagai ibadat umum, maka hal itu memerlukan sesuatu tujuan, perbuatan dan pelaksanaan yang tertentu.

Ketika ALLAH menceritakan tentang perjalanan manusia, ALLAH menjelaskan tentang kategori manusia iaitu yang benar-benar beriman dan beramal dengan baik yang disebut sebagai amal soleh. Malah, agama Islam ialah gabungan daripada tiga unsur yang penting iaitu akidah, syariah dan akhlak.

ALLAH berfirman dalam konteks ini: “Demi sesungguhnya Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata kepada Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dalam kalangan kamu, dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan sehingga Kami dapat mengesahkannya (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Sekiranya perbuatan yang dilakukan itu adalah menunaikan kewajipan kerana ALLAH, maka hal itu adalah termasuk dalam ibadat umum yang bakal dikurniakan ALLAH balasan yang baik di dunia dan akhirat.

Untuk menjadi seorang yang baik dari segi tujuan dan matlamat dalam hidup ini maka seorang itu haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup tentang segala sesuatu yang baik dalam kehidupannya, termasuk hukum agama, supaya dengan itu dia sentiasa menjadi seorang yang tahu memasang niat baiknya dan menterjemahkannya ke dalam segala amalannya.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa dalam zaman kecemasan Covid-19 ini, SOP adalah pengetahuan dan ilmu yang dibekalkan kepada semua orang oleh pemerintah, dan amalannya juga didedahkan dengan baik, maka setiap orang harus mengetahui apakah tujuan dan niatnya.

Oleh itu kita sering bertanya kenapa masih ada manusia yang tidak mahu melaksanakan perbuatan yang baik ini, lalu melanggar segala peraturannya.

Semoga hal ini akan menjadi satu norma baharu dalam pandemik koronavirus ini iaitu dengan menserasikan niat dan amalannya, perasaan dalaman dengan perbuatan lahirnya, dengan penuh kesedaran dan pengetahuan serta ilmunya, sebagai manusia yang mempunyai nilai integriti yang tinggi.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!