Sudahlah gajet mahal, liputan internet pula teruk

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lalu, Sinar Harian melaporkan harga komputer riba dan gajet elektronik dikesan melambung tinggi di pasaran dengan kenaikan sehingga 70 peratus kerana permintaan tinggi susulan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Sudahlah harga gajet mahal, capaian internet pula kurang memuaskan sampai ada yang terpaksa panjat pokok dan berkhemah depan rumah. Serba tak kena sampai pening kepala dibuatnya.

Beli gajet mahal atau canggih macam mana pun, jika internet bermasalah tidak guna kerana tidak boleh buat PdPR, internet baik tetapi harga gajet terlampau mahal orang tidak mampu beli, sama juga.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Jadi, kerajaan perlu mengusahakan sesuatu supaya isu gajet dan internet ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Rasanya isu ini sudah banyak kali diutarakan. Oleh itu kerajaan perlu menyegerakan peruntukan 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti yang dinyatakan menerusi Belanjawan 2021.

Nak tunggu sampai bila kerana sekarang sudah masuk bulan kedua persekolahan.

Penggunaan telefon pintar yang berskrin kecil sudah tentu mendatangkan pelbagai cabaran dan kesusahan dalam PdPR tetapi ramai ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan lain terutama dalam kalangan B40.

Ada keluarga yang tidak mampu sehingga terpaksa berkongsi satu telefon bimbit dengan adik-beradik lain yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Merak Jalanan bersetuju dengan saranan seorang ahli politik agar syarikat-syarikat telekomunikasi mengurangkan harga data internet.

Tingkatkan prasarana dulu, baru boleh naikkan harga data internet. Ada juga ahli politik yang bijak rupanya.