Tendang, belasah isteri dengan penyapu sampai tak bermaya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bengang dituduh tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah, seorang lelaki bertindak membelasah isterinya dengan penyapu di sebuah rumah di Kampung Pak Katak, Gong Badak, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 38 tahun turut tergamak menendang mangsa berusia 35 tahun yang mengakibatkan kepala wanita itu terhantuk pada dinding rumah sehingga bengkak.

Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, suspek ada meminta isterinya menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan ayat di dalam mesej yang dihantar melalui WhatsApp, kira-kira jam 1 tengah hari.

"Suspek meminta mangsa menjelaskan satu persatu maksud ayat yang dihantar terutama berkaitan tanggungjawab yang tidak dilaksanakan seperti tidak memberi nafkah. Mangsa cuba menjelaskan sebelum minta diceraikan.

"Akibat permintaan itu, suspek terus naik hantu lalu bertindak menendang mangsa dengan sekuat hati sehingga wanita itu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada dinding rumah," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengambil penyapu di dapur sebelum memukul kedua-dua belah paha dan punggung mangsa sehingga lebam.

"Meskipun dirayu berulang kali supaya tidak memukulnya lagi, suspek langsung tidak peduli malah terus memukul mangsa sehingga lebam di seluruh anggota berkenaan dan selepas melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bermaya suspek melarikan diri.

"Mangsa mendakwa kejadian begitu kerap kali berlaku kepadanya dan bimbang akan keselamatan diri serta anak-anak, mangsa nekad membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus sehari selepas kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.