Lima ekor rusa serikan Balai Bomba Jeli

Rusa yang dipelihara semakin jinak dan mudah didekati terutamanya kanak-kanak dan keluarga anggota yang bertugas.
Rusa yang dipelihara semakin jinak dan mudah didekati terutamanya kanak-kanak dan keluarga anggota yang bertugas.
A
A
A

JELI - Bukan hanya berbakti kepada masyarakat tetapi anggota Balai Bomba Jeli di sini juga prihatin menjaga haiwan ternakan yang diamanahkan kepada mereka.

Pegawai dan anggota balai bomba berkenaan mula menjaga empat ekor rusa yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan menamakan haiwan tersebut dengan gelaran Nozel, Suction, Coupling dan Spindle sempena peralatan yang digunakan.

Lebih menggembirakan apabila rusa tersebut membiak dan melahirkan seekor lagi rusa jantan yang diberi nama Hydrant.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim ketika ditemui berkata, objektif utama penternakan rusa tersebut ialah untuk memupuk budaya menyayangi haiwan peliharaan selain dapat menarik minat orang ramai ke balai tersebut.

"Kita mula memelihara rusa pada Disember tahun lalu dengan kerjasama JPV yang turut membina kandang dan memberi suntikan kepada haiwan berkenaan.

"Pada mulanya ia agak liar, tapi bila masuk minggu kedua dan ketiga, mereka semakin jinak dengan kami (anggota) dan keluarga-keluarga anggota yang tinggal di kuaters kediaman di sini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Menurutnya, walaupun mereka terpaksa bersedia 24 jam untuk berkhidmat namun waktu cuti digunakan sebaik mungkin untuk menguruskan rusa tersebut bagi memastikan makanan, kandang dan keperluan haiwan terjaga.

Ketika ditanya mengenai pengalaman berharga bersama rusa-rusa tersebut, Adni berkata, saat paling teruja ialah menyambut kelahiran anak rusa kerana 31 anggota yang ada di balai tersebut tidak mempunyai pengalaman dalam hal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Adni melihat sayur-sayuran yang ditanam di kawasan kuaters kediaman anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Jeli di sini.
Adni melihat sayur-sayuran yang ditanam di kawasan kuaters kediaman anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Jeli di sini.

"Memang kami terkejut sebab tiada siapa pun tahu yang salah seekor daripada rusa itu bunting dan kami baru saja memeliharanya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan kami mendapat tunjuk ajar dari agensi yang terlibat.

"Saya sendiri tidak menyangka idea menternak rusa ini mendapat perhatian ramai tambahan pula kami mengalu-alukan orang awam untuk datang sendiri ke sini melihat rusa yang jinak secara percuma. Tapi kini kemasukan orang awam terpaksa dihadkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila ada rusa di sini, maka ada 'terapi' untuk kami selepas penat bekerja setiap masa dan ia memang sangat membantu meringankan tekanan kerja.

"Bukan hanya rusa, kami juga memelihara burung dan ikan di sebelah balai. Ini juga salah satu daripada ternakan kami di sini dan sedang dalam proses menambah jenis burung dan ikan yang boleh dipelihara.

"Sesuai dengan kawasan ekosistem Jeli, kami dalam proses mencari ikan kelah untuk dipelihara supaya memudahkan orang ramai melihat ikan mahal tersebut dengan lebih dekat.

"Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri untuk menanam pelbagai jenis sayur secara hybrid di balai ini dan Alhamdulilah berjalan lancar. Semoga dengan usaha ini boleh memberi satu semangat kepada kami untuk bekerja setiap hari," katanya.