10 rumah musnah dalam kebakaran

Beberapa anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, Alor Setar pada Ahad.
Beberapa anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa buah keluarga di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok di sini berputih mata apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, sebanyak 10 buah rumah hangus, bagaimanapun kesemua penghuni tidak mengalami kecederaan.

Salah seorang mangsa, Nazri Hamzah, 40, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan sebahagian barangan berharga selepas terdengar letupan kuat dan melihat api marak dari rumahnya jiran.

"Saya terdengar bunyi kuat sebelum melihat api menyambar beberapa kediaman di kawasan berkenaan ketika sedang duduk di hadapan rumah.

Sebanyak 10 rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, Alor Setar hangus dalam kebakaran pada petang Ahad.
Sebanyak 10 rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, Alor Setar hangus dalam kebakaran pada petang Ahad.

"Selepas itu, saya berusaha mengambil sebahagian wang tunai dan membawa keluar peti ais ke tempat selamat, tapi sebahagian rumah telah hangus tidak sampai 20 minit sahaja," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Syufa'at Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 3.43 petang.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan BBP Alor Setar bergegas dengan beberapa jentera ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran sambil dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Alor Mengkudu, Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Kuala Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati 10 rumah terbakar sebelum memadamkan kebakaran menggunakan sumber air sungai menggunakan pam angkut dan tangki jentera.

Menurutnya, laluan ke kawasan kebakaran agak sempit dan jentera 'water tanker' tidak dapat memasuki laluan, namun api dapat dikawal dari merebak selepas 30 minit.