KPT pandang serius isu 'sugar baby'

Husaini
Husaini
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghubungi beberapa universiti yang pelajarnya didakwa terbabit dengan perkhidmatan ‘sugar baby’ bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang telah disiarkan dalam beberapa media.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Husaini Omar berkata, pihaknya memandang serius pendedahan yang dibuat oleh akhbar ‘The Star Online’ mengenai laman sesawang ‘student programme’ dan laporan dalam Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terbabit dalam perkhidmatan 'sugar baby'.

"Dalam hal ini, pihak pengurusan universiti menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan dalam laporan itu," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata Sunway Education Group menyatakan agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University dikatakan terbabit dalam aktiviti sugar baby kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja.

"Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah.

"Rabu lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga telah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media," katanya.

Husaini berkata, bagaimanapun pihak KPT bersama-sama dengan pihak universiti akan menangani isu ini dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, pihak universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan bagi merangka satu program berterusan dan menyeluruh dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej IPT di Malaysia terjaga.- Bernama