Tindakan polis tembak mati empat suspek ikut SOP: Ayob Khan

AYUB KHAN
AYUB KHAN
A
A
A

KLUANG - Polis Johor menyifatkan tindakan anggotanya menembak mati empat lelaki dipercayai penjenayah di Batu Pahat pada Jumaat lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mempertahankan diri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau yakin anggotanya mengikut SOP selepas suspek melepaskan tembakan dan mencederakan seorang pegawai dengan senjata kerambit dalam kejadian jam 3.15 pagi itu.

“Saya harap mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu dengar dan melihat kenyataan rasmi saya sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pada Ahad.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan dan akan mengeluarkan satu kenyataan lengkap berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lans Koperal Bradford Bernard, 28, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, sebuah NGO yang dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) menggesa Ketua Polis Johor itu merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

Dalam kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah kenderaan Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza telah bertindak agresif apabila pemandunya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

Artikel Berkaitan:

Pada masa masa, dua suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi bertindak menyerang polis menggunakan parang dan kerambit dalam usaha melarikan diri.

Dalam pergelutan itu, seorang daripada suspek menikam seorang pegawai polis sehingga cedera. - Bernama