Pekerja kilang maut tersepit mesin

Pegawai JKKP menjalankan siasatan di lokasi kejadian di kilang kelapa sawit di Tapah, Perak. Foto: JKKP Perak
Pegawai JKKP menjalankan siasatan di lokasi kejadian di kilang kelapa sawit di Tapah, Perak. Foto: JKKP Perak
A
A
A

TAPAH - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut dipercayai tersepit pada mesin ‘conveyor’ di kilang kelapa sawit di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa, Abdur Rahim, 51, sedang membersihkan bahagian dalam mesin sebelum rakannya menekan suis pengoperasian tanpa menyedari mangsa berada di dalam mesin tersebut.

Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tapah sebelum disahkan meninggal dunia.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, pasukan penyiasat dihantar bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, JKKP telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu terhadap jalur pengeluaran tersebut sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

“Kita akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, Sistem Lock Out Tag Out (LOTO) merupakan salah satu langkah kawalan yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pekerja lain menekan suis pengoperasian mesin ketika aktiviti penyelenggaraan dijalankan.

“Majikan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan melakukan kawalan risiko yang berkesan bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlaku kemalangan.

Artikel Berkaitan:

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.