Menteri Kewangan digesa bersikap telus, jujur

AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggesa Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya bersikap telus dan jujur berhubung isu ekonomi negara.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, ia berikutan kebimbangan Kementerian Kewangan dilihat memandang enteng terhadap krisis ekonomi yang melanda negara akibat Covid-19.

Menurutnya, laporan Bank Negara Malaysia berhubung Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada negatif 5.6 peratus berbanding peningkatan sebanyak 4.3 peratus pada tahun 2019.

“Ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sejauh manakah ketelusan kerajaan dalam memberikan laporan yang jujur dan tepat tentang kondisi semasa ekonomi negara.

“Amat kontradik apabila unjuran yang kerajaan bentangkan jauh menyimpang dari realiti semasa.

“Namun kerajaan berterusan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat tidak perlu bimbang dan ekonomi negara berada di landasan tepat fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, sewaktu kerajaan membuat anggaran KDNK menguncup pada negatif 4.5 peratus, Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) telah menyasarkan penguncupan yang lebih besar sekitar negatif 5.7 peratus.

Akmal berkata, laporan Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) mendapati pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada tahun lalu telah menjunam sebanyak 68 peratus kepada hanya AS$2.5 bilion (RM10.1 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Ini berdasarkan Fitch Rating yang menurunkan penarafan kredit Malaysia dari A- ke BBB+ yang akan menaikkan kos pinjaman untuk Malaysia,” katanya.

Akmal turut mempersoalkan adakah kerajaan akan kehilangan pertumbuhan KDNK yang diunjurkan sebanyak 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kewangan supaya berpijak di bumi nyata, bersikap jujur dan telus dalam membentangkan angka-angka ekonomi.

“Usah terpalit dengan permainan politik demi memberi imej baik kepada Perikatan Nasional (PN) seperti mengelirukan dan memperdayakan rakyat,” katanya.