Hope hantar imej pertama Marikh

Gambar tersebut diambil pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan Marikh pada Rabu, sehari selepas ia memasuki orbit planet tersebut. - Foto: AFP
Gambar tersebut diambil pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan Marikh pada Rabu, sehari selepas ia memasuki orbit planet tersebut. - Foto: AFP
A
A
A

DUBAI - Kapal angkasa Hope menghantar imej pertama Marikh, menurut agensi angkasa kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad beberapa hari selepas ia berjaya memasuki orbit planet merah tersebut.

"Imej itu memaparkan gunung berapi terbesar dalam sistem solar, Olympus Mons yang diterangi cahaya matahari terbit," jelas agensi itu.

Menurutnya, gambar tersebut diambil pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan Marikh pada Rabu, sehari selepas ia memasuki orbit planet tersebut.

Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum turut berkongsi imej tersebut di Twitter.

Misi itu dilancarkan untuk membongkar rahsia cuaca di Marikh, namun Dubai juga mahu menjadi pencetus inspirasi kepada golongan muda di rantau Arab.

Hope menjadi kapal angkasa pertama yang tiba di planet merah tersebut selepas China dan Amerika Syarikat (AS) juga melancarkan misi sama pada Julai lalu ketika bumi dan Marikh berada pada jarak paling hampir.

Difahamkan, ia akan mengorbit Marikh selama setahun atau bersamaan 687 hari di bumi menggunakan tiga peralatan saintifik bagi memantau atmosfera planet tersebut.

Ia dijangka mula menghantar lebih banyak maklumat ke bumi pada September depan dan data tersebut akan turut dikongsi bersama saintis di seluruh dunia untuk penyelidikan lanjut. - AFP

Artikel Berkaitan: