Wan Saiful mahu Bersatu, UMNO, Pas kekal dalam penyatuan

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa parti itu kekal dengan keinginan untuk memastikan penyatuan terus wujud antara UMNO, Pas dan Bersatu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, semua pendapat akan diambil kira termasuk sekiranya ada pandangan daripada individu atas dasar kebebasan dalam memberikan pandangan.

"(Namun) keputusan akhir parti hanya akan dimuktamadkan pemimpin tertinggi demi kepentingan parti secara profesional atau orang Melayu secara umumnya terjaga," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas UMNO Perak yang memberi kata dua kepada Bersatu supaya tidak bertanding kerusi dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti dilaporkan Sinar Harian pada Ahad.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada PRU15 akan datang.

Wan Saiful mengulangi pendiriannya bahawa keputusan hanya akan diputuskan oleh presiden parti masing-masing selepas mengambil kira semua perkara termasuk melalui pintu rundingan.

"Saya sebut tadi bahawa dalam isu mengenai kedudukan parti-parti dalam gabungan. Yang rasminya akan datang daripada parti dan sudah tentu diwakili oleh suara Presiden parti masing masing.

"Jadi, sementara keputusan itu dirundingkan dan dibincangkan, bukan semua orang boleh bagi pelbagai pandangan. Pandangan ini kita raikan (tetapi ia) bukan pandangan parti secara keseluruhan," katanya.

Artikel Berkaitan: