X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Covid-19 kembali catat angka bawah 3,000 kes

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu kembali mencatatkan angka bawah 3,000 iaitu sebanyak 2,464 kes.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia merekodkan penurunan kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas kepada 2,464 kes pada Ahad iaitu kurang 1,035 kes daripada 3,499 pada Sabtu.

Ini adalah kali kedua Malaysia mencatat kes baharu kurang daripada 3,000 dalam bulan ini selepas mencatatkan 2,764 kes pada 9 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatat 4,525 kes sembuh Covid-19 harian iaitu jumlah pesakit sembuh paling tinggi sejak pandemik itu melanda negara tahun lepas menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di seluruh negara setakat ini ialah 213,814 kes.

Jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 264,269 dengan kes aktif sebanyak 49,490 kes," katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 pada Ahad.

Beliau bagaimanapun berkata, tujuh kematian akibat Covid-19 dilapor dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan sejumlah 965 orang meninggal dunia akibat pandemik itu setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,461 merupakan penularan tempatan dan tiga adalah kes import.

Sementara itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,103 kes, diikuti Johor (492), Sarawak (161), Kuala Lumpur (154), Sabah (116), Kedah (92), Kelantan (88), Perak (85), Pulau Pinang (56), Terengganu (51), Negeri Sembilan (40), Melaka (11), Pahang (10), Labuan (satu) dan Putrajaya (empat), manakala Perlis tiada kes.

Mengenai tujuh kematian baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes adalah warganegara termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dengan penyakit medulloblastoma, sementara kes lain melibatkan individu berusia lingkungan 52 hingga 83 tahun yang turut mempunyai latar belakang penyakit kronik. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!