Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak boleh gagal

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula penghujung Februari ini tidak boleh gagal, sebaliknya perlu mencapai objektif pelaksanaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara yang melancarkan program imunisasi sedemikian mula menunjukkan pemulihan positif dalam ekonomi mereka.

Menurut beliau, Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia akan kembali berkembang pada kadar 6.7 peratus tahun ini, namun tertakluk kepada kelancaran dan keberkesanan program imunisasi, peningkatan kedudukan eksport negara serta tahap pelaburan.

“Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah penting bagi memastikan ramalan ini dapat dicapai, sekali gus proses pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan lancar apabila lebih banyak aktiviti ekonomi dapat dibuka.

“Sebagai contoh, apabila sempadan negara kembali dibuka, sektor yang terjejas teruk seperti penerbangan dan pelancongan akan dapat beroperasi semula. Begitu juga kilang-kilang yang dapat beroperasi tanpa risiko perlu ditutup akibat jangkitan sesama pekerja.

“Rantaian ekonomi berterusan akan membolehkan kitaran ekonomi berjalan lancar yang akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada negara, malah kepada kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Khairy, vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan serta telah diuji kepada puluhan ribu penerima sebelum diluluskan.

Tambah beliau, tiada bukti vaksin tersebut memudaratkan nyawa atau kesihatan mereka serta dakwaan akan mengubah DNA penerima.

Artikel Berkaitan:

“Vaksin ini tidak mengandungi microcip untuk mengambil alih pemikiran kita. Vaksin ini bukan agenda illuminati yang mahu menubuhkan New World Order. Vaksin ini dihasilkan oleh sains.

“Kita mesti yakin dengan sains dan bukannya teori konspirasi yang tular dalam WhatsApp keluarga atau taman perumahan yang memetik sumber palsu. Sains mesti menang," katanya.

Khairy berkata, apabila jangkitan menurun, lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial boleh dijalankan tanpa sekatan yang terlalu ketat.

Katanya, gangguan dalam program imunisasi serta keadaan pandemik Covid-19 yang berterusan akan terus membawa negara ke arah ketidaktentuan ekonomi serta memaksa kawalan pergerakan diteruskan.

“Saya ingin menyeru agar setiap ahli masyarakat untuk bersama-sama menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.

“Apabila tiba masa untuk kita menerima vaksin, segera mendaftar agar sasaran kita untuk mencapai imuniti kelompok dapat dipercepat yang seterusnya membolehkan proses pemulihan ekonomi disegerakan.