KPWKM didesak segera bentang RUU gangguan seksual

WAN AZIZAH, HANNAH
WAN AZIZAH, HANNAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) didesak segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual yang didakwa sudah tertangguh sekian lama.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataan bersama pada Ahad berkata, RUU itu perlu dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, dibahas dan diluluskan supaya orang awam khususnya wanita akan berasa lebih selamat dan dilindungi.

Dr Wan Azizah dan Hannah Yeoh sebelum itu kesal berhubung kes gangguan seksual terhadap seorang wanita yang dilapor melibatkan pegawai polis.

"Kejadian seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang pegawai polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta baru-baru ini amat dikesali apatah lagi membabitkan individu yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam terutama wanita.

"Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri," menurut kenyataan itu.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta timbalannya itu berkata, gangguan seksual membabitkan perkataan lucah sudah cukup membuatkan wanita tersebut tidak selesa, marah dan ketakutan sehingga memandu kereta dalam keadaan trauma.

Katanya, keadaan itu tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain kecederaan emosi dan mental yang baru beliau (mangsa) lalui.

"Kami mahu kejadian ini diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak bertanggungjawab khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melibatkan seorang pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga wajar mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus mengenai kepekaan gender kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa dari masa ke masa supaya insiden seperti ini tidak berulang," katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap dua wanita di sekatan jalan raya (SJR) di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, kes tersebut disiasat oleh JIPS Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Saya difahamkan kejadian pertama berlaku di SJR Jalan Duta iaitu seorang anggota polis yang menegur seorang pemandu wanita tidak memakai bra (baju dalam).

"Kejadian kedua pula dikatakan berlaku di SJR Pulau Pinang berhubung anggota polis meminta nombor telefon seorang pemandu wanita, kemudian menghubunginya untuk berkenalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.